Daftar pemilih tambahan Februari 2023 dibuka untuk semakan

Sinar Harian
Mac 17, 2023 18:25 MYT
Daftar Pemilih Tambahan Februari 2023 dibuka untuk semakan. -Gambar hiasan
SHAH ALAM: Daftar Pemilih Tambahan Bulan Februari Tahun 2023 (DPT BLN2/2023) kini dibuka untuk semakan dalam tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 15 April.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 34,896 warganegara berumur 18 tahun dan ke atas bagi tempoh 1 Februari 2023 hingga 28 Februari lalu, yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
Katanya, sejumlah 10,771 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 4,256 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.
Untuk semakan, beliau berkata, SPR menyediakan lima kaedah iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my dan portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.
Semakan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi dalam talian di https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak dan hotline SPR di talian 03-8892 7018.
Dalam pada itu, SPR menyeru kepada warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Februari 2023 hingga 28 Februari 2023 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka.
“Jika mereka mendapati namanya tidak disenaraikan, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan raya boleh mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan. -Sinar Harian
#Suruhanjaya Pilihan Raya #Daftar Pemilih Tambahan Bulan Februari Tahun 2023 #dibuka untuk semakan #Indera Ikmalrudin Ishak
;