Daftar pemilih baru diwarta 22 Feb 2013 - SPR
Bernama
Februari 15, 2013 16:25 MYT
Februari 15, 2013 16:25 MYT
Senarai daftar pemilih baru yang melibatkan seramai 13.34 juta pemilih berdaftar sehingga Disember 2012 akan diwartakan pada 22 Feb ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof Jumaat.
Beliau menasihatkan semua pemilih berdaftar supaya menyemak daftar pemilih yang baru berkenaan supaya sebarang kesilapan dapat diperbetulkan segera.
Abdul Aziz berkata secara keseluruhan seramai 16 juta rakyat Malaysia layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan diumumkan bila-bila masa selepas daftar pemilih baru itu diwartakan.
"Hanya dua juta lebih rakyat Malaysia yang layak mengundi, belum mendaftar sebagai mengundi. Jumlah ini kurang daripada 20 peratus iaitu lebih kurang 18 atau 19 peratus sahaja daripada 16 juta layak mengundi.
"Kesedaran rakyat Malaysia untuk mengundi semakin meningkat dan ini bermakna promosi dan kerja keras SPR berjaya. Daftar pemilih yang baharu melibatkan seramai 2.3 juta pengundi berusia bawah 39 tahun yang baru mendaftar sebagai pemilih," katanya pada sidang akhbar selepas Rundingan Meja Bulat Pandangan Masyarakat Terhadap SPR anjuran Majlis Profesor Negara (MPN).