Daftar masuk MySejahtera menurun - CodeBlue
Agensi
Mac 30, 2022 17:58 MYT
Mac 30, 2022 17:58 MYT
KUALA LUMPUR: Daftar masuk MySejahtera turun 26 peratus kepada kira-kira 6.3 juta pada 28 Mac lalu, dua hari selepas tercetus dakwaan aplikasi itu dijual kepada sebuah syarikat swasta, lapor portal kesihatan CodeBlue.
Dakwaan itu, sekali gus menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan data peribadi pengguna.
Data GitHub Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai daftar masuk MySejahtera dan kontak kasual yang dikenal pasti pada 25 Mac menyaksikan 24,358,225 daftar masuk sebelum jatuh 26 peratus kepada 18,038,569 daftar masuk pada 28 Mac, angka terendah tahun ini, memetik laporan itu lagi.
Walaupun begitu, trend menurun telah bermula sejak awal tahun ini.
Setakat 28 Mac, purata 26.6 juta daftar masuk harian bagi tahun ini sahaja.
Ketika kemuncaknya pada November dan Disember tahun lepas, Code Blue berkata, lebih 11.5 juta pengguna menggunakan MySejahtera untuk mendaftar masuk setiap hari, sementara pengguna unik MySejahtera mempunyai purata kira-kira 10.04 juta pengguna setiap hari, tahun ini.
Bilangan premis yang didaftar masuk juga mengalami penurunan, daripada purata 717,992 premis antara 19 dan 25 Mac, kepada 620,572 premis pada 26 Mac dan 486,348 premis pada 27 Mac.
Kontak kasual harian COVID-19 yang dikenal pasti dan dimaklumkan oleh sistem pengesanan hubungan automatik Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) juga telah menurun kepada 472,057 pada 26 Mac, 454,563 pada 27 Mac, dan 365,113 pada 28 Mac .
Dari 19 Mac sehingga 25 Mac menyaksikan 705,785 kontak kasual dikenal pasti dan dimaklumkan setiap hari, manakala penurunan notifikasi kontak kasual mungkin disebabkan penurunan kes COVID-19.
Namun, menurut artikel itu lagi, angka daftar masuk yang semakin berkurangan mungkin menunjukkan bahawa ramai pengguna MySejahtera kini ragu-ragu untuk memberi maklumat tentang lokasi, gara-gara ketidakpastian tentang keselamatan dan pemilikan data MySejahtera.