Daftar masuk keluar hotel: MOTAC minta penjelasan dari pemain industri
Bernama
September 25, 2024 23:52 MYT
September 25, 2024 23:52 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang memantau isu pendaftaran masuk hotel di negara ini dan memberikan perhatian serius agar pemain industri tersebut memberikan penjelasan.
Dalam satu kenyataan hari ini, MOTAC memaklumkan bahawa kementerian itu mengalu-alukan maklumat lanjut daripada orang ramai berkaitan isu berkenaan yang boleh disalurkan melalui emel di info@motac.gov.my.
Kementerian itu turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa membaca dan memahami terma serta syarat yang ditetapkan oleh pihak hotel sebelum membuat tempahan.
"Langkah ini penting bagi mengelakkan sebarang salah faham atau ketidakpuasan hati terutamanya berkaitan dengan penentuan harga serta perkhidmatan yang disediakan," menurut kenyataan itu.
Media baru-baru ini melaporkan tindakan sesetengah pengusaha hotel menetapkan waktu daftar masuk ke premis mereka bermula pukul 4 petang dan perlu keluar pada pukul 11 pagi.
Penetapan waktu itu telah mencetuskan perbincangan warga maya yang rata-ratanya merasakan tindakan itu sebagai tidak adil kepada pelanggan kerana tempoh penginapan yang diberikan agak singkat.
-- BERNAMA