Daftar masuk, keluar hotel: Bukan di bawah bidang kuasa MOTAC - King Sing

Ridauddin Daud
Oktober 23, 2024 11:04 MYT
Tiong King Sing berkata, isu yang tular baru-baru ini seperti waktu ‘check-in’ dan ‘check-out’ adalah di bawah seliaan kerajaan negeri. - Foto JaPen
KUALA LUMPUR: Isu berkaitan rumah tumpangan dan rumah bermalaman bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, isu yang tular baru-baru ini seperti waktu ‘check-in’ dan ‘check-out’ adalah di bawah seliaan kerajaan negeri.
Menurutnya, ia termaktub dalam Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) yang digubal lebih 30 tahun lepas.
“Ini bermakna kawalan rumah tumpangan dan rumah bermalaman adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang diselia oleh bidang kuasa tempatan (PBT) dan negeri masing-masing.
“Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) yang telah diwarta pada tahun 1992 memperuntukkan berkenaan keperluan untuk pendaftaran premis penginapan pelancong termasuk hotel.
“Tetapi kawalan selia dan penguatkuasaan operasi hotel bukan terletak kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya,” katanya.
Begitupun, katanya, MOTAC akan mengadakan semua pihak berkaitan, termasuk kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan kewajaran memasukkan peruntukan baharu ke dalam akta tersebut.
Tambahnya, kementerian juga akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia dalam isu pengambilan pekerja asing untuk sektor perhotelan.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Rabu, menjawab soalan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang membangkitkan isu penetapan waktu daftar masuk dan keluar oleh pengusaha hotel.
#Tiong King Sing #MOTAC #check in #check out #pengusaha hotel
;