Daftar kahwin pelarian Islam antara dibincang mesyuarat MKI ke-72

Bernama
Ogos 23, 2024 19:30 MYT
Mohd Na'im berkata kertas cadangan melibatkan pelarian Rohingya, Syria dan Palestin itu dibawa secara bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pendaftaran perkahwinan bagi pelarian beragama Islam di negara ini antara yang dibincangkan di dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) ke-72 di sini, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata kertas cadangan melibatkan pelarian Rohingya, Syria dan Palestin itu dibawa secara bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Kita dimaklumkan ada sekitar 190,000 pelarian di negara kita...contohnya antara (pelarian) Rohingya, mereka ini berkahwin tetapi tidak ada dokumen perkahwinan.
"(Apabila) anak (mereka) lahir dan duduk di Malaysia, timbul masalah sosial. Jadi, di situ ada keperluan untuk memastikan perkahwinan mereka ini didaftarkan di negara kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat itu.
Mesyuarat itu dipengerusikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi MKI dan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi MKI.
Bagaimanapun, Mohd Na'im berkata mesyuarat itu menangguhkan perbincangan berkaitan pendaftaran perkahwinan pelarian berkenaan atas faktor isu sensitif khususnya dalam konteks keselamatan.
Beliau berkata kertas cadangan mengenai perkara itu akan dibawa semula ke mesyuarat MKI akan datang yang dijangka berlangsung pada November atau Disember ini.
"Keputusan mesyuarat tadi supaya kertas cadangan itu ditangguhkan untuk diharmonikan (dan) tengok daripada semua aspek termasuk keselamatan...sebab selepas perkahwinan didaftarkan, mereka (pelarian) akan layak untuk terima sesuatu keistimewaan.
"Selepas MKI berikan persetujuan, (perkara itu) akan dibawa ke Majlis Raja-Raja untuk dapat perkenan," katanya.
Sementara itu, Mohd Na'im berkata enam individu dilantik sebagai ahli MKI dalam mesyuarat hari ini antaranya Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Majlis Pimpinan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) Tan Sri Azman Mokhtar dan Ahli Dewan Negara Datuk Salehuddin Saidin.
Beliau berkata mereka yang dilantik itu memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing seperti ekonomi dan undang-undang bagi mengukuhkan peranan MKI.
-- BERNAMA
#pelarian Islam #daftar perkahwinan #MKI #Mohd Na'im Mokhtar
;