Dadah: Polis Perak perhebat operasi, 41 sarang penagihan dihapuskan tahun ini
Bernama
Januari 4, 2022 13:30 MYT
Januari 4, 2022 13:30 MYT
IPOH: Polis Perak akan memperhebatkan operasi bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dengan menghapuskan kira-kira 41 sarang penagihan dadah yang telah dikenal pasti di seluruh negeri pada tahun ini.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sudah mengarahkan kesemua 15 ketua polis daerah untuk memberi tumpuan khusus bagi menghapuskan sarang penagihan dadah dan kes-kes melibatkan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di negeri ini.
"Ia merupakan sasaran utama untuk kita melakukan tangkapan terhadap sindiket dadah berskala besar," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak dan Amanat Tahun Baharu 2022 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di sini hari ini.
Mior Faridalathrash berkata sarang penagihan dadah telah dikenal pasti terbahagi kepada pelbagai lokasi antaranya di sekitar kawasan perumahan, ladang kelapa sawit dan sebagainya.
"Tempat-tempat sarang penagihan dadah ini akan kita hapuskan tahun ini agar tiada lagi sarang dadah di seluruh negeri ini," katanya.
Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata sebanyak RM18 juta saman berjaya dikutip menerusi diskaun kompaun saman trafik di negeri yang ditawarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 1 Dis hingga 31 Dis lepas.
Terdahulu, beliau menyerahkan bantuan banjir berjumlah RM500 berserta bakul makanan kepada 41 warga PDRM Perak yang kediaman keluarga mereka terjejas akibat banjir.
-- BERNAMA