Dadah: Polis Kota Kinabalu tahan 42 individu

Bernama
Mei 12, 2019 13:07 MYT
Dadah jenis syabu seberat 8.23 gram dianggarkan bernilai RM1,500 sepanjang operasi itu turut dirampas. - Gambar hiasan
Polis menahan 42 individu atas pelbagai kesalahan melibatkan penyalahgunaan dadah dalam operasi di sekitar bandar raya ini termasuk Manggatal, Sembulan dan Likas dalam tempoh seminggu bermula 4 Mei hingga semalam (Sabtu).
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata kesemua suspek ditahan berumur 15 hingga 50 tahun itu turut melibatkan 10 warga asing, dan mereka ditahan dalam operasi dijalankan di Kampung Lokub dan Kampung Labou di Manggatal; Kampung Bakau di Likas; Kampung Sembulan dan Kampung Air, di sini.
"Seorang individu ditangkap atas kesalahan membekal dan pengedaran dadah, 17 individu ditangkap atas kesalahan memiliki dadah dan 24 individu lagi didapati positif selepas ujian air kencing dijalankan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Beliau berkata polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 8.23 gram dianggarkan bernilai RM1,500 sepanjang operasi itu.
Habibi berkata polis terus memperkasa Op Tapis yang dijalankan 18 kali sepanjang minggu serta terus memperhebat usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar Kota Kinabalu dan kawasan berhampiran bagi memelihara kesejahteraan masyarakat setempat, katanya.
-- BERNAMA
#Dadah #jenayah #Kota Kinabalu #operasi #PDRM #pengedar #polis #Ujian air kencing #warga asing
;