Dadah, pistol mainan dan vest polis ditemui dalam kereta
Abd Razak Mohd Ali
Jun 24, 2019 09:15 MYT
Jun 24, 2019 09:15 MYT
Polis menemui sejumlah dadah, sepucuk pistol mainan dan vest polis di dalam sebuah kereta selepas menahan seorang lelaki dalam kejadian di Jalan Raja Idris, berhadapan Hospital Kuala Kangsar, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, seorang lagi lelaki berjaya melarikan diri di dalam kawasan Hospital Kuala Kangsar.
Kejadian dikatakan berlaku apabila polis cuba menahan kereta yang dinaiki kedua-dua lelaki itu yang dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Razali Ismail berkata, suspek bagaimanapun memecut kenderaan tersebut.
“Dalam usaha melepaskan diri dari tangkapan, kereta ini telah dipandu menongkah arus trafik dan telah melanggar sebuah motosikal serta beberapa buah kenderaan sebelum berjaya ditahan di lampu isyarat berdekatan Hospital Kuala Kangsar.
“Seorang lelaki berjaya ditahan dengan bantuan orang ramai, sementara seorang lagi dapat melepaskan diri tetapi pengenalannya dikenal pasti dan usaha mengesan sedang dijalankan,” katanya di sini.
Razali bagaimanapun mengesahkan tiada kejadian tempat menembak seperti yang didakwa di dalam video dan gambar yang tular mengenai kejadian itu.
Menurut beliau, pihaknya telah meminta bantuan Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak untuk membantu siasatan.