Dadah dalam roti canai: Lima individu termasuk pelajar kolej swasta ditahan

Bernama
April 15, 2020 13:42 MYT
Polis turut menemui satu ketulan mampat dan beberapa paket plastik kecil berisi dadah disyaki ganja di rumah suspek di Bangsar.
Lima individu termasuk seorang pelajar kolej swasta ditahan susulan penemuan dadah disyaki ganja dalam bungkusan roti canai dibawa penghantar makanan di sini, pada Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata tiga lelaki dan dua wanita itu ditahan dalam operasi lebih lima jam bermula 8.30 malam tadi di Setiawangsa dan Bangsar di sini.
Katanya, pelajar kolej swasta berusia 19 tahun yang memesan bungkusan makanan itu ditahan di Setiawangsa di sini dan suspek didapati positif dadah.
“Dua lagi lelaki ditahan di sebuah rumah di Bangsar kerana disyaki membekalkan bungkusan makanan berisi dadah kepada pelajar kolej itu.
"Turut ditahan dalam operasi itu adalah dua wanita berusia 63 dan 70 tahun yang berada dalam rumah itu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Arifai pihaknya turut menemui satu ketulan mampat dan beberapa paket plastik kecil berisi dadah disyaki ganja di rumah suspek di Bangsar.
“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dilakukan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Semalam, media melaporkan seorang penghantar makanan membuat laporan polis selepas menemui dua paket disyaki dadah jenis ganja dalam bungkusan makanan pelanggannya, Isnin lepas.
Lelaki berusia 31 tahun itu menerima pesanan untuk menghantar satu bungkusan barang itu dari Petaling Jaya ke Setapak.
-- BERNAMA
#Arifai Tarawe #Bangsar #bungkusan makanan #Dadah #ganja #Gombak #kolej swasta #operasi #pelajar #penghantar makanan #pesanan makanan #Petaling Jaya #polis #roti canai #rumah #Setiawangsa #siasatan #suspek
;