Dadah bernilai RM6.4 juta disorok dalam kereta Bentley, dua lelaki direman
Abd Razak Mohd Ali
Jun 27, 2021 11:52 MYT
Jun 27, 2021 11:52 MYT
IPOH: Dua lelaki ditahan reman selama tujuh hari sehingga 30 Jun bagi membantu siasatan selepas polis menemui dadah seberat 128.78 kilogram yang disorok dalam bonet belakang sebuah kereta mewah jenis Bentley di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Gopeng pada Rabu.
Dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM6.4 juta itu ditemui dalam ruang bonet yang telah diubah suai di samping di dalam ruang menyimpan tayar ‘spare’ kereta berkenaan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, kedua-dua suspek berumur 41 dan 47 tahun itu ditahan di SJR berkenaan kira-kira jam 7.30 petang selepas didapati dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil daripada pemeriksaan tersebut, kita telah jumpa 117 bungkusan teh Cina yang di dalamnya mengandungi 122.5 kilogram dadah yang kita syaki sebagai dadah jenis Methamphetamine.
"Ekoran daripada itu, kita telah bawa dua lelaki bersama kenderaan tadi ke IPD Kampar dan pemeriksaan lanjut telah dijalankan, kita jumpa lagi enam bungkusan teh Cina yang di dalamnya mengandungi 6.28 kilogram yang disimpan di ruang penyimpanan tayar ganti (spare tyre)," jelasnya.
Beliau bercakap dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, pada Ahad.
Menurutnya, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM3,390.
Kedua-dua suspek dikatakan dalam perjalanan dari Johor menghantar dadah berkenaan untuk pasaran negeri-negeri di utara Semenanjung.
Ujian air kencing mendapati salah seorang daripada suspek positif dadah jenis Methamphetamine di samping mempunyai beberapa kes lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.