Dadah bernilai RM5.88 juta dirampas, penjaga stor dan 'runner' ditahan

Umavathi Ramayah
September 13, 2024 18:16 MYT
Khaw Kok Chin berkata, polis menahan tiga lelaki berusia 30 hingga 33 tahun serta merampas 154 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai RM5.88 juta. - Foto Noor Fahmey Md Azhar
KUALA LUMPUR: Dengan hanya bekerja sebagai penjaga stor dan menjadi runner, tiga lelaki ini mampu meraih gaji bulanan antara RM3,000 dan RM5,000.
Namun aktiviti mereka yang berselindung di sebalik kondominium mewah di ibu negara, akhirnya terbongkar apabila polis menyerbu stor berkenaan dalam dua serbuan berasingan, Rabu lalu.
Dalam serbuan itu, polis menahan tiga lelaki berusia 30 hingga 33 tahun serta merampas 154 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai RM5.88 juta.
Jumlah dadah itu, dianggarkan boleh digunakan kira-kira 660,500 penagih sekiranya terlepas di pasaran.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, dalam serbuan pertama di tempat letak kereta sebuah kondominium di Cheras di sini, polis menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai penjaga stor.
"Pemeriksaan lanjut di dalam sebuah Proton Saga, polis menemukan beg sandang mengandungi dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 182.9 gram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, pada Jumaat.
Kok Chin berkata, penahanan itu membawa kepada serbuan di sebuah unit kondominium dengan menggunakan kunci yang dirampas daripada suspek terbabit.
"Hasil serbuan, pasukan menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar.
"Kita melancarkan serbuan kedua di sebuah restoran di Taman Mutiara pada hari sama dan berjaya menahan seorang lagi suspek dipercayai ahli sindiket berkenaan.
"Jumlah rampasan dalam kedua-dua serbuan ini adalah dadah jenis methamphetamine seberat 111.42 kg; kanabis (29.06 kg); pil ekstasi (7.51 kg) dan kristal mdma (6.07 kg)," ujarnya.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, polis mendapati sindiket itu menyewa kondominium dengan kadar RM2,000 sebulan sejak enam bulan lalu untuk dijadikan tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang.
Katanya, polis turut menyita wang tunai RM750, dua kereta jenis Nissan Almera dan Proton Saga bernilai RM55,000 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Semakan katanya mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, namun saringan air kencing didapati negatif bahan terlarang.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan bekalan berkenaan diperoleh dari utara Semenanjung Malaysia.
#Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik #Dadah #penagih dadah #Polis Diraja Malaysia
;