Dadah bernilai RM400,000 dirampas, warga Indonesia ditahan
Bernama
Julai 31, 2023 16:15 MYT
Julai 31, 2023 16:15 MYT
ALOR GAJAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan merampas dadah jenis syabu seberat 10 kilogram dengan anggaran bernilai RM400,000 serta menahan seorang lelaki warga Indonesia di sekitar perairan Tanjung Kling di sini Jumaat lepas.
Pengarahnya Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata penahanan dibuat hasil risikan mengenai kehadiran sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di perairan Tanjung Kling lebih kurang 1 pagi pada 28 Julai itu.
Katanya aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan OP MURNI/OP TIRIS telah bergegas ke lokasi dan berjaya mengesan sebuah bot pancung namun suspek segera memecut laju melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa dan meninggalkan seorang lelaki disyaki rakan suspek.
"Seorang lelaki berusia 38 tahun seterusnya ditahan di kedudukan lebih kurang 0.1 batu nautika barat daya Pantai Kundur pada 2.30 pagi dan hasil pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
"Turut ditemukan bersamanya sebuah beg pakaian berwarna merah dan hitam mengandungi tujuh bungkusan teh Cina berwarna merah jenama Jin Xuan Tea dan tiga bungkusan berwarna putih dengan kesemua bungkusan itu dipercayai berisi ketulan mampat dadah disyaki jenis syabu yang dijangkakan akan dibekalkan kepada lebih 20,000 penagih," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Katanya suspek kini direman 14 hari bermula tarikh ditahan dan kesemua barangan dirampas dengan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1963.
"Kami percaya dadah yang dirampas ini dirancang diseludup keluar dari Melaka melalui jalan laut untuk ke Indonesia dan menjadikan perairan negeri ini sebagai transit manakala pemindahan tersebut bukan pertama kali dilakukan," katanya.
Katanya Maritim Malaysia sentiasa peka dan serius melakukan pemantauan operasi dan penguatkuasaan undang-undang agar perairan negara selamat daripada sebarang aktiviti yang menggugat kedaulatan negara.
Justeru orang ramai diminta melaporkan sebarang maklumat salah laku di laut dengan segera di Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.
-- BERNAMA