Cydes 2020, Pameran dan Persidangan Pertahanan & Keselamatan Siber sulung dianjur di Langkawi
Astro Awani
Mac 28, 2019 13:25 MYT
Mac 28, 2019 13:25 MYT
Buat julung kalinya Pameran dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber (Cydes) akan dianjurkan pada Mac 2020 bertempat di Pusat Pameran Antarabangsa Langkawi (MIEC).
Cydes disifatkan sebagai pelengkap kepada acara dwi-tahunan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA), bakal berlangsung selama tiga hari pada tahun alternatifnya.
Ancaman perang siber dilihat semakin meruncing sejak beberapa tahun lalu, menggerakkan negara-negara Asia Pasifik terutamanya untuk meningkatkan usaha menangani perkara tersebut.
Usaha dan langkah dirancang untuk menentang ancaman perang siber serta pelaksanaannya wajib melalui pendekatan berterusan yang bersifat revolusioner dan inovatif.
Pelbagai usaha proaktif diambil kerajaan antaranya dengan menubuhkan Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Bagaimanapun dalam era Revolusi Perindustrian 4.0, langkah peringkat domestik tidak memadai dan usaha memerangi perang siber memerlukan kerjasama serantau.
Acara kemuncak Cydes 2020 ialah acara Bicara Perdana Siber ASEAN (PACT) yang akan disertai pemimpin tertinggi negara dan pakar industri pertahanan negara-negara anggota ASEAN.
Kira-kira 300 pempamer teknologi siber sektor pertahanan dan keselamatan dari dalam dan luar negara seperti Australia, Kanada, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, India dan Korea Selatan turut dijangka hadir.