Cyberview tuntut kesamarataan gender dalam bidang teknologi
Bernama
Mac 10, 2023 05:30 MYT
Mac 10, 2023 05:30 MYT
KUALA LUMPUR: Cyberview Sdn Bhd (Cyberview) menghoskan panel pemimpin teknologi wanita untuk berkongsi ilmu dan idea mereka merentas generasi untuk menuntut sektor teknologi mendukung kesamarataan gender selaras dengan tema Hari Wanita Antarabangsa 2023.
Panel perbincangan tersebut dianggotai Ketua Bahagian Pembangunan Hab Teknologi, Cyberview, Shafinaz Salim, Pengerusi Skymind, Datuk Dr Yasmin Mahmood, pengasas bersama Supagene Asia, Nura Samsuddin, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama BETA Foundation, Lilyana Abdul Latif dan Ketua Operasi dan Pengalamanan, Durioo+, Nuown Zainal.
Cyberview, dalam satu kenyataan pada Jumaat, berkata Shafinaz dalam ucapan pembukaan memberitahu bahawa sektor teknologi mempunyai isu ekuiti global apabila ia melibatkan wanita, terutamanya dalam memegang jawatan peringkat pembuat keputusan.
"Beliau memetik statistik kelab 30 peratus wanita dalam peringkat jawatan utama di Malaysia, setakat ini 28.2 peratus sebagai Ahli Lembaga Pengarah di 100 syarikat teratas yang tersenarai awam.
"Kelab 30 peratus adalah salah satu rakan kongsi strategik ESG (persekitaran, sosial dan tadbir urus) Cyberview," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Yasmin berkata Malaysia sudah jauh daripada sasaran 30 peratus keanggotaan wanita sebagai Ahli Lembaga Pengarah yang ditetapkan pada 2013.
"Kesamarataan bermaksud kita dibenarkan melakukan apa yang kita mahu lakukan dengan sebaik mungkin, diberi peluang dan mengakui perbezaan yang kita miliki untuk mendepani cabaran sebagai wanita," katanya.
Lilyana berkata dunia korporat memerlukan peraturan yang saksama dalam mengukur prestasi kerja mengikut gender di mana ia mesti saksama dan tidak sama kerana wanita mempunyai lebih banyak tanggungjawab di luar alam pekerjaan.
Berkongsi nasihatnya untuk wanita dalam dunia pekerjaan, Nura dipetik sebagai berkata bahawa beliau percaya wanita harus berhenti bersikap malu dan meminta maaf kerana perbezaan dan memberi tumpuan kepada kekuatan mereka dan menerima kelemahan mereka untuk bergerak ke hadapan.
Sementara itu, Nuown membangkitkan isu diskriminasi terhadap ibu yang ingin kembali bekerja selepas berhenti selama beberapa tahun untuk menjaga anak mereka.
"Tiada formula khusus untuk mencapai keseimbangan kerja dan kehidupan. Kami boleh melakukan yang terbaik apabila memainkan peranan yang berbeza tetapi apabila memerlukan rehat, kita perlu mampu untuk berhenti kerja buat seketika," tambahnya.
-- BERNAMA