Cyberjaya jadi pusat data, isu kelestarian perlu ditangani - Cyberview

Bernama
November 30, 2023 04:15 MYT
Kamarul Ariffin berkata pengembangan pusat data kini setanding dengan pembangunan teknologi AI dan penerimaannya dalam budaya kerja turut mengambil kira implikasinya terhadap kelestarian. - Foto Cyberview
KUALA LUMPUR: Isu kelestarian perlu ditangani susulan kewujudan lebih banyak pusat data di Cyberjaya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview Sdn Bhd (Cyberview) Kamarul Ariffin Abdul Samad.
Beliau berkata permintaan yang sentiasa meningkat terhadap pemprosesan data yang dicetuskan oleh pendigitalan dan automasi, menjadikan pusat data sebagai tulang belakang pada era digital.
Menurut Kamarul Ariffin, Malaysia khususnya Cyberjaya juga telah memanfaatkan pertumbuhan pendigitalan di rantau Asia Pasifik yang disokong oleh kekuatan pertumbuhan e-dagang dan penembusan mudah alih yang menyediakan akses kepada kandungan digital secara besar-besaran.
"... perkembangan baharu ini menyokong kepada peningkatan permintaan terhadap pusat data dalam ekonomi digital yang berkembang pesat dan peranan dimainkan Cyberjaya bagi memenuhi keperluan infrastruktur digital diperlukan.
"Tambahan pula, trend terkini menunjukkan pertumbuhan berterusan dalam sektor ini boleh dijangka dalam tempoh terdekat hingga pertengahan tahun," katanya dalam kenyataan semalam.
Bagaimanapun, Kamarul Ariffin berkata pengembangan pusat data kini setanding dengan pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan penerimaannya dalam budaya kerja turut mengambil kira implikasinya terhadap kelestarian.
"Walaupun kemajuan teknologi tidak dapat dielak dan pembangunannya perlu disokong, sentiasa menggalakkan dan mendukung inovasi dari segi kelestariannya juga sama penting," katanya.
Sehubungan itu, Kamarul Ariffin berkata pemuliharaan alam sekitar dan pendekatan pembangunan lestari dalam sektor berkenaan perlu dilihat sebagai sesuatu yang menjadi kebiasaan untuk maju.
Bagi tujuan itu, katanya Cyberview baru-baru telah menganjurkan bengkel bersama Persatuan Gas Malaysia (MGA) dengan sokongan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi memanfaatkan potensi gas boleh diperbaharui dan teknologi penjanaan bersama (CoGen) bagi pusat data.
Selain itu, beliau berkata syarikat itu juga telah melaksanakan projek kelestarian dan rendah karbon di seluruh Cyberjaya sejak beberapa tahun lepas termasuk mewujudkan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV), selain kemudahan penyejukan berpusat menggunakan air di lebih 46 bangunan, yang mampu mengurangkan 7,000 tan pelepasan karbon ke udara setahun.
Beliau berkata Cyberview bersama rakan kerjasama turut melabur RM5 juta untuk membangunkan dan memasang sel fotovoltaik di kawasan parkir dan bumbung untuk memanfaatkan tenaga solar.
"Kita juga sedang meneroka peluang dengan rakan kongsi lain dalam memanfaatkan tenaga solar dan boleh diperbaharui untuk pusat data di Cyberjaya, termasuk kemungkinan loji tenaga solar terapung di permukaan air melalui Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) dan Akses Pihak Ketiga (TPA).
"Usaha ini selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan kami sedang meneliti untuk membangunkan inovasi ini dengan lebih lanjut ke arah meningkatkan penggunaan tenaga cekap dan sumber lain bagi mencapai matlamat Cyberjaya sebagai bandar rendah karbon menjelang 2030," katanya.
-- BERNAMA
#Cyberjaya #pusat data #Cyberview #kelestarian
;