Cyberjaya berusaha kurangkan kesan karbon

Astro Awani
April 30, 2013 13:10 MYT
Pemaju utama Cyberjaya, Cyberview Sdn Bhd, pada Isnin mengumumkan perintis bandaraya hijau itu komited untuk mengurangkan 21 peratus pengeluaran karbon menjelang tahun 2020.
“Cyberjaya sedang mencapai kemajuan yang baik dalam menjadikan hab ICT utama kepada persekitaran hijau untuk menjalankan kehidupan dan bekerja. Mengurangkan pengeluaran karbon kepada 21 peratus menjelang 2020, penuh dengan cabaran. Bagi memenuhi sasaran, memerlukan pengurangan setanding dalam pelepasan karbon dioksida, gas rumah hijau, yang kebanyakannya hasil daripada pembakaran bahan api fosil.
“Budaya hijau yang cuba di sebarkan tidak akan menjadi realiti sekiranya Malaysia masih mengaut keuntungan melalui kemusnahan alam sekitar,” kata Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Hajah Nor’ Aini Abdul Wahab dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga membentangkan Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF) kepada pihak berkepentingan utama Cyberjaya – Cyberview Sdn Bhd, Sepang Municipal Council, Setia Haruman Sdn Bhd dan Multimedia Corporation.
“Sejak penubuhan Cyberjaya, ianya telah dirancang ke arah bandaraya hijau dengan lebih 30 peratus daripada tanahnya dirizabkan untuk kawasan bebas pencemaran dan infrastruktur. Bandar itu diiktiraf sebagai perintis bandaraya hijau pada 2010,” menurut Pemangku Pengarah Urusan Cyberview, Izatul Arini.
Pemaju utama tersebut juga mengumumkan beberapa inisiatif hijau akan datang untuk Cyberjaya, yang terletak di bawah pelan bandar rendah karbon.
“Sebagai satu daripada dua perintis bandaraya hijau, Cyberview bekerjasama dengan pihak berkepentingan lain untuk membentuk bandaraya hijau dan mengurangkan pengeluaran karbon menggunakan strategi rendah karbon yang dibentangkan dalam LCCF.
“Dengan LCCF, kami cuba untuk mengurangkan kesan karbon melalui empat (4) elemen - alam sekitar bandar, pengangkutan bandar, infrastruktur bandar dan bangunan.
"Kami telah menjalankan beberapa inisiatif seperti program Penanaman Pokok dan inisiatif hijau lain termasuk pemasangan panel solar di perhentian bas, Kiosk GreeNomad, dan mesin kompos yang akan dipasang di Cyberjaya. Usaha-usaha ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa sokongan dari syarikat-syarikat yang berfikiran terbuka," kata Izatul.
#bandaraya hijau #Cyberjaya #Cyberview #KeTTHA
;