Cyber Security Malaysia siasat ketirisan data peribadi pengguna MySejahtera - Fahmi

Bernama
Februari 23, 2023 17:30 MYT
Fahmi berkata, tindakan lanjut akan dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) selepas mendapat laporan lengkap siasatan CSM. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Cyber Security Malaysia (CSM) diarah untuk menyiasat laporan berhubung ketirisan maklumat peribadi pengguna aplikasi MySejahtera, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Beliau berkata tindakan lanjut akan dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) selepas mendapat laporan lengkap siasatan CSM.
"Berkenaan isu (ketirisan maklumat) MySejahtera... saya sudah minta CSM siasat, meneliti dan memahami siapa yang sebenarnya telah mengakses akaun 'Super Admin' bagi aplikasi MySejahtera.
"Dipercayai jumlah data (peribadi) yang sangat banyak mungkin telah dibawa keluar," katanya ketika sesi menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 mendedahkan terdapat 1.12 juta cubaan memecah masuk aplikasi MySejahtera dengan kira-kira tiga juta maklumat pengguna aplikasi itu dilapor diakses secara mencurigakan daripada akaun 'Super Admin'.
#Fahmi Fadzil #laporan ketua audit #MySejahtera #ketirisan maklumat peribadi
;