Cuti umum, cuti sekolah punca kesesakan di Pejabat Imigresen KL, Putrajaya

Bernama
Disember 12, 2022 14:24 MYT
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud menasihatkan orang ramai mencari alternatif untuk memohon pasport di pejabat Imigresen yang terletak di luar Lembah Klang yang kurang sesak.- fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Kesesakan luar biasa yang berlaku di pejabat permohonan pasport Jabatan Imigresen di Kuala Lumpur dan Putrajaya hari ini, adalah berpunca daripada penutupan pejabat-pejabat pasport di seluruh Selangor kerana cuti umum dan cuti sekolah.
Sehubungan itu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud menasihatkan orang ramai mencari alternatif untuk memohon pasport di pejabat Imigresen yang terletak di luar Lembah Klang yang kurang sesak.
Beliau berkata antara pejabat permohonan pasport berdekatan dan kurang kesesakan adalah di Seremban, Melaka, Cameron Highlands dan Raub di Pahang, Pengkalan Hulu (Perak), Mersing dan Kukup (Johor) serta Kangar di Perlis.
Selain itu, katanya urusan permohonan pasport selepas ini, boleh dibuat di pejabat permohonan pasport di Kuala Langat dan Kuala Kubu Bharu di Selangor kerana dikenal pasti kurang sesak.
"Bagi mereka yang tidak mempunyai keperluan mendesak atau kecemasan, diminta supaya menangguhkan dahulu urusan permohonan pasport dan memohon di luar waktu puncak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Dzaimee turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sikap menunggu hingga ke saat akhir dan perlu merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.
Jabatan Imigresen melalui aplikasi TikTok rasminya hari ini memuat naik video berdurasi 51 saat memaparkan keadaan kesesakan luar biasa di pejabat permohonan pasport di Putrajaya.
-- BERNAMA
#pejabat pasport #cuti umum #jabatan imigresen #Selangor
;