Cuti suami tidak diterima, pengantin wanita bersanding sendirian
Syakirah Zulkifly
Mac 20, 2018 20:36 MYT
Mac 20, 2018 20:36 MYT
Antara detik yang dinantikan setiap pengantin pastinya diraikan dalam satu majlis perkahwinan yang meriah dan dirai bak raja sehari bersama pasangan yang dikasihi.
Namun lain pula kisahnya di Teluk Intan. Pengantin perempuan Badriyah Amirullah, 26 tahun, yang lengkap berbusana pengantin terpaksa meneruskan majlis persandingan tanpa suami Syaiful Izwan, 26 tahun, di sisi.
Menurut laporan The New Straits Times, Syaiful yang merupakan seorang anggota bomba tidak diberi pengecualian daripada menjalani latihan pada hujung minggu lalu ketika majlis persandingannya dijalankan.
Walau bagaimanapun, majlis yang diadakan di Teluk Intan, Perak itu tetap berjalan lancar dan meriah dengan sokongan keluarga dan rakain-rakan yang lain.
Badriyah berkata pada mulanya dia tidak mahu memakai busana pengantin yang telah ditempah kerana risau akan berasa kekok, namun dia mengalah setelah dipujuk dan ditenangkan mertuanya.
"Saya mungkin tak akan dapat melaluinya seorang diri tanpa sokongan keluarga, rakan-rakan dan suami yang menggalakkan untuk terus bersanding seorang diri kerana baginya, dia masih seorang pengantin,” tambahnya.
Pada majlis tersebut, ketibaannya seorang diri di majlis itu menimbulkan tanda tanya daripada kalangan tetamu yang hadir.
Para tetamu seakan tertanya-tanya berikutan ketiadaan kelibat pengantin lelaki di majlis itu. Mujurlah pengacara majlis dengan pantas menjelaskan keadaan.
"Malu memang malu, tapi sebagai menantu sulung keluarga ini saya harus teruskan jua demi kedua mertua saya dan air muka mereka," kata Badriyah.
Baginya, kejadian ini merupakan dugaan dan cabaran yang perlu ditempuh sebagai isteri seorang ahli bomba dan semua yang berlaku ada hikmahnya dan ini merupakan satu titik permulaan bagi pelbagai lagi cabaran di alam perkahwinan.
“Pengalamannya bersanding seorang diri memang tidak akan dapat dilupakan sampai bila-bila, saya sangat teruja kerana dapat merancang majlis ini.
"Walaubagaimanapun, saya hanya dapat merancang tetapi Tuhan yang menentukan.”