Cuti sekolah: Taman tema air jadi tumpuan
Bernama
Disember 27, 2023 04:40 MYT
Disember 27, 2023 04:40 MYT
SHAH ALAM: Taman tema air di Selangor antara yang menjadi pilihan ibu bapa untuk meluangkan masa bersama anak-anak sepanjang cuti persekolahan ini.
Satu lokasi tumpuan ialah di WaterWorld I-City di sini yang mempunyai pelbagai tarikan antaranya The Ultimate Tornado, yang merupakan gelongsor air berbentuk lingkaran atau spiral pertama di Asia Tenggara.
Pengunjung taman tema air itu Iskandar Shah Ismail, 41, berkata, dia memilih lokasi berkenaan kerana ia tempat paling sesuai buat masa ini berbanding sungai atau laut berikutan cuaca yang tidak menentu selain faktor keselamatan.
Sebelum ini, dia membawa anak-anaknya ke pantai Port Dickson, Negeri Sembilan untuk beriadah mengisi masa lapang pada cuti persekolahan, namun, bertukar ke teman tema itu berikutan hampir dengan tempat tinggalnya.
"Anak-anak memang sukakan aktiviti air, untuk bawa ke kawasan semula jadi seperti sungai buat masa ini seperti tidak sesuai memandangkan cuaca tidak menentu. Maka, saya memilih untuk membawa anak-anak ke sini untuk mengisi masa lapang kami.
"Di sini lebih terjaga dan selamat kerana ada lifeguard atau penyelamat yang sentiasa memerhati gerak-geri kami," katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Rabu.
Seorang lagi pengunjung yang ingin dikenali sebagai Along, 38, dari Ijok, dekat sini berkata, pada cuti persekolahan ini, dia mengambil peluang membawa anak mandi-manda di taman tema berkenaan.
"Sudah lama saya tidak berkunjung ke sini memandangkan lokasi ini selalunya menjadi tumpuan ramai terutama menjelang hari minggu menyebabkan saya tidak mahu bersesak.
"Bagaimanapun, anak membuat permintaan untuk mandi di sini, jadi saya fikir apa salahnya berkunjung kali ini, ia juga terletak tidak jauh dari rumah selain terdapat potongan harga tiket," kata bapa tiga anak itu.
Sementara itu, bagi Nurul Hasanah Hashim, 32, pula, dia dan suaminya mengambil kesempatan berkunjung ke lokasi itu kerana tertarik dengan kepelbagaian aktiviti yang terdapat di situ.
"Kami dari Johor dan datang ke sini untuk menghadiri jemputan kenduri rakan. Setiap kali datang ke Lembah Klang, taman tema air akan menjadi destinasi wajib keluarga kerana ia menyediakan pelbagai aktiviti, tapi yang penting anak-anak gembira dapat bermain air.
"Selain itu, sekurang-kurangnya ada sesuatu yang anak-anak boleh kongsikan bersama rakan-rakan mereka mengenai aktiviti cuti sekolahnya," katanya. - BERNAMA