Cuti sekolah: Plaza Tol Gombak sesak

Sinar Harian
Jun 4, 2022 15:18 MYT
Keadaan trafik sesak di Plaza Tol Gombak pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
GOMBAK: Trafik menghala ke Plaza Tol Gombak sesak sejak petang Jumaat susulan warga kota memanfaatkan cuti panjang hujung minggu dan cuti persekolahan untuk bercuti dan pulang ke kampung.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, kesesakan dianggarkan sejauh dua kilometer (km) dari Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke plaza tol terbabit.
Setakat jam 12.30 tengah hari, pertambahan trafik menyebabkan kesesakan di Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak (KLK) sejauh 2.1km dari Gombak ke Genting Sempah manakala Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) lancar bagi kedua-dua arah.
Pengurus Besar Kanan, Ketua ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, trafik dijangka meningkat antara 15 hingga 25 peratus berbanding hari biasa pada musim cuti persekolahan ini.
Menurutnya, trafik mulai sibuk sejak petang Jumaat dan dijangka sebanyak 170,000 kenderaan akan menggunakan Lebuhraya KLK dan 70,000 kenderaan menggunakan LPT1 pada Sabtu.
"Bagi melancarkan aliran trafik, lorong pembayaran tol beroperasi secara maksimum termasuk lorong tambahan bagi plaza tol yang memerlukan.
"Petugas turut ditempatkan di lorong tol bagi membantu pengguna yang berdepan masalah," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Justeru, beliau menasihatkan pengguna merancang perjalanan dan memastikan kad Touch 'n Go dan tag teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) masih aktif serta mempunyai baki sebelum memasuki lebuh raya.
*Artikel asal disiarkan di Sinar Harian
#Plaza Tol Gombak #sesak #cuti sekolah #Pantai Timur
;