'Cuti sekolah bukan permulaan untuk anak-anak amal budaya tidak sihat'
Aida Aziz
Februari 24, 2023 13:00 MYT
Februari 24, 2023 13:00 MYT
IPOH: Cuti persekolahan tidak sepatutnya menjadi permulaan untuk anak-anak mengamalkan budaya tidak sihat seperti tidur dan bangun lewat, melepak serta berpelesiran hingga awal pagi.
Apatah lagi mengunjungi tempat hiburan yang kurang sihat hingga terdedah kepada kegiatan tidak bermoral, dadah dan jenayah.
Pesanan itu disampaikan menerusi teks khutbah Jumaat di seluruh Perak yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), dengan tajuk 'Cuti sekolah: Manfaatkannya dengan pengisian berfaedah'.
"Anak-anak yang pada kebiasaannya, berada di bilik darjah di bawah pengawasan guru, serta diberikan pelbagai kerja sekolah dan kerja rumah, tiba-tiba bersendirian, memiliki masa lapang yang banyak.
"Anak-anak yang kedua orang ibu bapa atau penjaganya bekerja, akan tinggal bersendirian, atau sesama adik beradik, paling tinggi diawasi kakak atau abang yang sedikit lebih tua, atau pembantu rumah," katanya.
Justeru katanya, dalam keadaan demikian, anak-anak akan terdedah kepada pelbagai pengaruh dan juga menghadapi pelbagai risiko, iaitu pelbagai ancaman dan bahaya.
Menurut teks itu lagi, anak-anak harus dijadualkan dengan kegiatan yang membuatkan mereka berasa rindu untuk mahu cepat kembali ke sekolah.
"Diadakan kegiatan yang melibatkan rakan sekolah datang ke rumah atau anak-anak berkunjung ke rumah mereka.
"Mengaturkan lawatan anak-anak ke pusat pengajian tinggi, muzium, pusat sains, pameran, perpustakaan dan kedai buku.
"Melanggan akhbar, majalah dan bahan bacaan dan menjanjikan hadiah kepada anak-anak jika mereka berjaya menjawab soalan kuiz atau menduga akal yang ditanya secara santai pada malam hari atau sambil memandu semasa anak-anak bersama dalam kenderaan.
"Membawa anak-anak menonton filem atau memperkenalkan mereka dengan rancangan televisyen yang dapat membantu meluaskan pengetahuan," katanya.
Selain itu katanya, anak-anak juga perlu diperkenal dan dididik dengan tanggungjawab terhadap rumah seperti membersihkan rumah, peralatan rumah, laman, kenderaan dan sebagainya dengan memberikan imbuhan.
"Semasa cuti anak-anak dibimbing mengenali tugas-tugas ringan seperti membersihkan barang dari pasar, menanak nasi, menyediakan minuman, menghidang makanan, membasuh pakaian ringan atau pakaian dalam, menyidai dan melipat kain dan sebagainya," katanya.
Di samping itu katanya, masa lapang anak-anak sebaiknya digunakan untuk memperkukuh anak-anak dengan pengisian rohani dan keagamaan.
"Membudayakan anak-anak solat berjemaah; mendengar, menyemak dan membetulkan bacaan al-Quran anak-anak melalui kelas yang diadakan di rumah, surau atau masjid.
"Menjinakkan anak-anak untuk memahami dan menyelami hikmah yang terkandung dalam al-Quran, juga memperkenalkan mereka kepada amalan sunat yang digalakkan.
"Melakukan pemeriksaan kesihatan anak-anak, merangkumi kesihatan gigi, berat badan, kandungan gula dan mendorong anak-anak untuk berdisiplin ketika makan, beriadah, menyertai latihan jasmani atau mempelajari seni mempertahankan diri secara berkumpulan.
"Menyerapkan pengertian silaturahim dengan membawa anak-anak menziarahi ahli keluarga, terutama yang lebih tua, seperti datuk nenek, bapa dan ibu saudara.
"Menyemai rasa kesyukuran dan keinsafan anak-anak dengan mengunjungi rumah orang tua, rumah anak yatim, dan orang miskin, sambil menghulurkan sumbangan dan pertolongan," katanya.
Jelasnya lagi, mereka juga perlu didedahkan dengan kerja-kerja amal dan kemasyarakatan seperti kegiatan berkumpulan atau bergotong royong membersihkan kawasan rekreasi, persekitaran taman perumahan, kawasan sekolah, masjid dan surau.
Pesan teks khutbah itu lagi, ketika mendidik dan mengasuh anak-anak, ibu bapa hendaklah menjadi sebaik contoh teladan.
Justeru katanya, bimbinglah anak-anak dengan ihsan dan belaian kasih sayang selain belajar menjadi pendengar yang sabar untuk memahami keperluan mereka.
Selain itu, ibu bapa juga hendaklah meletakkan diri mereka sebagai insan yang paling dipercayai oleh anak-anak.