Cuti Krismas dan Tahun Baharu: Trafik lancar, namun kenderaan semakin bertambah

Fauzi Suhaimi
Disember 23, 2020 20:38 MYT
Keadaan trafik di kesemua lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad khususnya di plaza tol keluar dari ibu negara dilaporkan masih lancar. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Keadaan trafik di kesemua lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) khususnya di plaza tol keluar dari ibu negara dilaporkan masih lagi lancar sejak jam 8 malam Rabu.
Namun, kenderaan yang memasuki semua lebuh raya khususnya di Plaza Tol Jalan Duta dan Sungai Besi dilihat semakin bertambah dan ia dijangka akan terus meningkat bermula lewat malam ini serta esok.
Ia berikutan kebanyakan warga kota mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung sempena dengan perayaan Krismas dan cuti Tahun Baharu.
Ketua Komunikasi Korporat, Perhubungan Komuniti dan Awam PLUS, Syed Mohammed Idid Syed Ahmad Idid berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan trafik sehingga 30 peratus atau kira-kira 1.7 juta kenderaan pada waktu puncak setiap hari berbanding 1.3 juta kenderaan pada hari-hari biasa.
"Untuk hari ini, keadaan trafik masih lagi lancar, namun jumlah kenderaan dilihat semakin bertambah khususnya di semua plaza tol keluar dari ibu negara.
"Kita jangkakan keadaan trafik akan bertambah sesak bermula petang esok hingga lewat malam memandangkan esok merupakan bermulanya cuti bagi sambutan perayaan itu dan tahun baru akan datang," katanya di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Syed Mohammed Idid berkata, bagi memastikan perjalanan pelanggan lancar ketika musim cuti berkenaan, pihaknya menyediakan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) kepada pengguna Lebuhraya Utara-Selatan di antara 22 Disember 2020 hingga 19 Januari 2021.
Jelas beliau, jadual TTA itu merupakan salah satu langkah untuk menyuraikan trafik dan mengurangkan kesesakan terutama di laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat dan rawat pada musim perayaan ini.
"Berdasarkan dengan TTA ini, pelanggan lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi.
"Pelanggan yang menuju ke lain-lain destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang atau lain-lain negeri disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 12 tengah hari," katanya.
Sementara itu, orang ramai daripada negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, utara Perak, Johor dan lain-lain negeri yang menuju ke Lembah Klang bagi tempoh yang sama, dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi.
PLUS Malaysia jangka kesesakan trafik bermula malam ini
“Pemandu juga diingatkan supaya memandu dengan selamat dan lebih berhati-hati berikutan musim hujan di seluruh negara pada ketika ini.
“Sila pastikan kenderaan anda diselenggara dan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, sentiasa memakai tali pinggang keledar di tempat duduk depan dan belakang, tidak berhenti di lorong kecemasan sekiranya tidak perlu dan patuhi had laju ketika berada di lebuh raya.
Pada masa yang sama, tambahnya, PLUS turut menasihatkan pelanggan supaya memastikan baki kad Touch n Go atau e-Wallet mereka mencukupi pada setiap masa.
“Terdapat kira-kira 13,000 lokasi tambah nilai disediakan di seluruh negara bagi membolehkan pelanggan lebuh raya menambah nilai kad lebih awal.
“Pelanggan lebuh raya juga disaran supaya membuat pra-pesanan makanan dan minuman menerusi Aplikasi PLUS untuk membawa pulang makanan dan menikmati pengalaman yang lebih mudah serta selesa ketika berhenti rehat di R&R terpilih,” ujarnya.
#PLUS #lebuh raya #Krismas #tahun baharu #lancar #Jalan Duta #Sungai Besi #Lebuhraya Utara-Selatan #Lembah Klang
;