Cuti hujung minggu mula Jumaat perlu kajian menyeluruh - Tengku Abdullah

Bernama
Julai 28, 2018 16:59 MYT
Tengku Abdullah diminta mengulas usul Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar semasa persidangan DUN pada Selasa, untuk menukar cuti hujung minggu bermula pada Jumaat, berbanding Sabtu dan Ahad. - Gambar fail
Cadangan menukar cuti hujung minggu kepada Jumaat memerlukan kajian menyeluruh sebelum dapat dipertimbangkan, titah Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Baginda bertitah kajian dan tinjauan itu perlu melibatkan pelbagai pihak termasuk pelajar sekolah serta meliputi pelbagai agama yang akan tertakluk kepada perubahan itu.
"Saya perlukan masa untuk membuat tinjauan sebelum memberikan pendirian kerana kita tidak pernah membincangkan isu cuti Jumaat sebelum ini.
"Kalau melihat pada penerimaan di dewan (persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)) ada yang pro dan ada yang kontra...di situ sahaja juga sudah ada gambarannya," titah baginda.
Baginda ditemui selepas berkenan berangkat ke Mesyuarat Agung Tahunan Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Negeri Pahang Tahun 2018 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di sini, hari ini.
Tengku Abdullah bertitah demikian ketika diminta mengulas usul Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar semasa persidangan DUN pada Selasa, untuk menukar cuti hujung minggu bermula pada Jumaat, berbanding Sabtu dan Ahad yang dilaksanakan masa ini.
Rosli semasa itu berkata antara lain ia akan memudahkan umat Islam mengerjakan solat Jumaat selain dapat mewujudkan keharmonian kaum, jika terdapat pekerja Islam pulang ke pejabat agak lewat selepas solat.
Sementara itu, Tengku Abdullah dalam titah ucapannya menggesa anggota kerabat untuk terus membantu mereka yang memerlukan, selari dengan objektif penubuhan badan kebajikan itu pada 1981.
Baginda juga mengingatkan kerabat, termasuk dirinya, agar merendah diri dan tidak menunjuk-nunjuk kekuasaan dan kemewahan serta menjaga nama baik khususnya dalam dunia teknologi yang melibatkan penggunaan media sosial secara berleluasa.
"Saya tetap merendah diri dan akan mengasuh anak-anak untuk turut merendah diri... supaya mereka menjadi hamba kepada rakyat Pahang.
"Saya tidak suka dan akan ingatkan diri serta keluarga untuk tidak menunjuk-nunjuk dan jika ada yang berbuat demikian, saya tidak ragu-ragu untuk memperbetulkannya," titah baginda.
-- BERNAMA
#cuti #DUN #Pahang #rakyat #Tengku Abdullah #Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah
;