Cuti Hari Kebangsaan: 20,000 pelancong Malaysia ke wilayah selatan Thailand

Bernama
September 2, 2024 20:26 MYT
Antara kawasan tumpuan pelancong Malaysia ialah di Pantai Samila, Bandar Lama Songkhla dan Pasar Terapung Khlong Hae di Wilayah Songkhla. - Bernama
PATTANI: Sebanyak 20,000 pelancong dari Malaysia bercuti di Wilayah Selatan Thailand dan menyumbang lebih 100 juta Baht (100 Baht = RM12.71) kepada ekonomi tempatan sempena cuti panjang untuk sambutan Hari Kebangsaan Sabtu lepas.
Kebanyakan pelawat dari Malaysia dilaporkan menggunakan pintu masuk Bukit Kayu Hitam dan Pengkalan Hulu di Malaysia untuk menuju ke Sadao dan Betong di Thailand.
Pengarah Pejabat Pelancongan dan Sukan Songkhla, Wilawan Pobunsong, berkata secara umum, jumlah pelancong Malaysia yang memasuki pintu masuk untuk bercuti di kawasan selatan Thailand ini amat menggalakkan, terutamanya ketika cuti umum atau cuti sekolah di Malaysia.
"Secara keseluruhannya, seramai 20,000 pelawat dari Malaysia telah bercuti di wilayah selatan Thailand pada cuti panjang hujung minggu lepas iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad.
"Antara kawasan tumpuan pelancong Malaysia ialah di Pantai Samila, Bandar Lama Songkhla dan Pasar Terapung Khlong Hae di Wilayah Songkhla," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin (2 Sept).
Wilawan berkata sepanjang tempoh tiga hari itu, pelancong Malaysia dianggarkan menyumbang kira-kira 100 juta Baht kepada sektor ekonomi tempatan.
Selain itu, Ketua Jabatan Kastam Betong, Praornrat Rattanspornsomporn, berkata mulai Jumaat hingga Ahad lepas, seramai 4,000 hingga 5,000 pelancong Malaysia telah memasuki pintu Betong.
"Kemasukan pelancong Malaysia, terutamanya ketika cuti umum, sentiasa ramai dan difahamkan tempat-tempat penginapan di Betong juga mencatatkan tempahan hampir 95 peratus," katanya.
Thailand menerima kedatangan 17.5 juta pelancong asing dan menjana pendapatan kira-kira 825.541 bilion Baht (RM106.22 bilion) bagi separuh pertama tahun ini.
Statistik Kementerian Pelancongan dan Sukan menunjukkan dari Januari hingga Jun tahun ini, pelancong dari China menduduki senarai teratas dengan 3.43 juta, diikuti Malaysia (2.43 juta) dan India (1.04 juta) dalam tempoh yang sama.
-- BERNAMA
#pelancong malaysia #cuti #Hari Kebangsaan #selatan thailand