Cuti bersalin 90 hari bebankan syarikat kecil - MEF

Sinar Harian
Oktober 13, 2019 00:17 MYT
Shamsuddin berkata peningkatan tempoh cuti bersalin itu juga dilihat bakal meningkatkan kos operasi syarikat berkenaan. -Gambar fail
Tempoh cuti bersalin dipanjangkan daripada 60 hari ke 90 hari mulai 2021 disifatkan sebagai sesuatu yang akan membebankan syarikat terutama syarikat-syarikat kecil.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, peningkatan tempoh cuti bersalin itu juga dilihat bakal meningkatkan kos operasi syarikat berkenaan.
Menurutnya, kebanyakan syarikat di negara ini mempunyai kurang daripada lima pekerja dan apabila penambahan cuti bersalin berkuat kuasa, sudah tentu ia akan menyukarkan operasi syarikat berkenaan.
“Sebenarnya, pihak kami telah membuat pengiraan dan mendapati peningkatan kos adalah sebanyak RM3 bilion.
“Jumlah berkenaan sangat besar dan membebankan syarikat terutamanya kepada syarikat mikro (kecil),” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Beliau berkata, MEF berpendapat kos itu sepatutnya tidak dibebankan kepada majikan.
BACA: Tindakan akan dikenakan ke atas majikan swasta yang enggan beri cuti bersalin 90 hari
BACA: 'Majikan perlu lihat cuti bersalin satu pelaburan bukan bebanan'
BACA: Cuti bersalin 90 hari mungkin rugikan pekerja dari segi perjawatan - Christy Ng
BACA: "Saya tidak bantah, cuma bimbang" - Christy Ng ulas pengumuman cuti bersalin 90 hari
Menurutnya, kebanyakan negara-negara ASEAN dan negara membangun kos cuti bersalin ditanggung oleh ‘social security’ dan bukannya tanggungjawab majikan semata-mata.
“Situasi ini dilihat berbeza di negara ini kerana sepanjang tempoh cuti bersalin 60 hari dibayar oleh majikan sepenuhnya.
“Dalam situasi ini saya berpendapat tempoh 30 hari tambahan itu juga akan dibebankan kepada majikan," katanya.
#90 hari #cuti bersalin #MEF #membebankan syarikat #Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia #Shamsuddin Bardan #syarikat kecil