Cuti 10,500 anggota bomba dibekukan sehingga Februari sebagai persediaan hadapi banjir

Bernama
Disember 1, 2019 00:32 MYT
JBPM membekukan cuti kira-kira 10,500 pegawai dan anggotanya sebagai persediaan dalam menghadapi musim banjir. - Gambar fail/BERNAMA
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membekukan cuti kira-kira 10,500 pegawai dan anggotanya di seluruh negara sehingga Febuari tahun hadapan sebagai persediaan dalam menghadapi musim banjir.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata cuti pegawai dan anggota bomba yang bertugas di bahagian operasi telah mula dibekukan sejak September lepas dan akan diteruskan berikutan bencana banjir dilihat sudah mulai berlaku dalam negara.
"Sekarang ini tiga negeri sudah mengalami bencana banjir iaitu Terengganu, Kelantan dan Perak. Kita percaya bencana ini akan berterusan sehingga Febuari (tahun depan)," katanya selepas merasmikan penutupan Konvensyen Bomba Sukarela Peringkat Zon Borneo 2019 di Dewan Serbaguna JBPM Sarawak, Jalan Setia Raja, di sini, pada Ahad.
Beliau berkata pembekuan cuti itu juga merangkumi anggota bomba di Sarawak dan Sabah walaupun pihaknya menyedari ramai anggotanya yang akan menyambut perayaan Krismas hujung bulan ini.
Beliau seterusnya meminta orang ramai seluruh negara supaya sentiasa peka dengan segala peringatan, arahan dan nasihat yang diberikan agensi kecemasan khususnya JBPM, yang berkaitan bencana alam.
-- BERNAMA
#banjir #beku cuti #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #Mohammad Hamdan Wahid #musim banjir
;