Curi wang mangsa MH370: Suami dipenjara 4 tahun, sebat 3 kali, waran tangkap untuk isteri
Astro Awani
Mei 20, 2015 13:18 MYT
Mei 20, 2015 13:18 MYT
Suami kepada pasangan yang memindahkan dan mengeluarkan wang daripada akaun milik empat mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 telah dijatuhkan hukuman penjara empat tahun dan sebatan rotan sebanyak tiga kali.
Menurut laporan The Star Online, Hakim Norsharidah Awang tidak menjatuhkan hukuman kepada isteri Basheer Ahmad Maula Sahul Hameed, kerana isterinya tidak hadir ke mahkamah.
Nur Shila Kanan dilaporkan mengalami cirit-birit dan telah memberikan surat cuti sakit dari Hospital Kuala Lumpur kepada mahkamah.
Walaubagaimanapun, mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadap pegawai bank itu.
Pada 20 Ogos tahun lepas, pasangan tersebut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan perbicaraan bermula pada 16 April lalu dengan memanggil empat saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, pasangan itu menukar pengakuan bersalah pada 28 April lepas dan mahkamah telah membacakan pertuduhan semula dan mensabitkan kesalahan tersebut terhadap mereka.
Nur Shila didakwa memindahkan wang milik rakyat Malaysia, menggunakan dokumen palsu sebagai tulen dan menipu penyelia bank serta mencuri wang tersebut.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bank HSBC tempat dia (Nur Shila) bekerja di cawangan Lebuh Ampang, di sini antara 14 Mei dan 8 Julai lepas.
Sementara itu, suaminya menghadapi pertuduhan menggunakan kad debit dan kad TM untuk mengeluarkan wang mangsa di ATM HSBC Amanah Ampang Point, Ampang di sini antara 10.02 pagi, 15 Mei dan 29 Jun, 2014 pada 11.28 malam.