Curi udang dan sotong, penunggang p-hailing dipenjara dua minggu
Bernama
Januari 26, 2024 22:13 MYT
Januari 26, 2024 22:13 MYT
KUALA LUMPUR: Gara-gara mencuri udang dan sotong di sebuah pasar, seorang penunggang p-hailing dihukum penjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu selepas Khamirul Azmi Basli, 35, mengaku mencuri bahan mentah terbabit yang kesemuanya bernilai RM350 milik seorang peniaga di Pasar Datuk Keramat pada 10.30 malam 9 Jan lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda manakala bagi kesalahan kali kedua, pesalah perlu dihukum penjara dan boleh dikenakan denda atau sebatan.
Wong memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu 22 Jan lepas.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Vivien Yeap Jie Xi memohon hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran, bagaimanapun Khamirul Azmi yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.
"Saya mengaku bersalah kerana mencuri tetapi saya mencuri bukan untuk jual tetapi untuk buat makan. Saya minta maaf dan janji tidak akan buat lagi, mohon jasa baik Yang Arif untuk ringankan hukuman saya.
"Saya juga mempunyai seorang ibu yang kini tinggal seorang di rumah," katanya.
-- BERNAMA