Curi setem hasil PKNSB, peniaga dipenjara sehari dan denda RM30,000
Bernama
Disember 8, 2022 06:00 MYT
Disember 8, 2022 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang peniaga dalam talian dihukum penjara sehari dan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan mencuri 7,750 lembaran setem hasil milik Percetakan Keselamatan Nasional Sdn Bhd (PKNSB) antara 2018 hingga 2021.
Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Carl Iskandar Bian, 40, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes itu hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula Khamis dan dipenjara tiga bulan sekiranya dia gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri 4,000 dan 3,750 lembaran setem hasil, masing-masing bernilai RM5 dan RM10 milik syarikat itu di Jalan Chan Sow Lin, di sini antara 2018 hingga 2021 mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, Muhammad Carl Iskandar yang ketika itu penyelia stor di PKNSB telah mencuri setem hasil daripada stor simpanan bilik setem di PKNSB. Dia kemudiannya menyimpan setem yang dicurinya itu di dalam sebuah van milik syarikat tersebut lalu membawa keluar kenderaan itu ke rumahnya.
Hasil siasatan mendapati tertuduh telah menjual setem hasil yang dicuri dan wang tersebut disimpan di rumahnya.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How manakala tertuduh diwakili peguam Vijey Esvaren.
-- BERNAMA