Curi peti sejuk naik motosikal, seorang lelaki ditahan, 2 larikan diri
Adie Sufian Zulkefli
Januari 18, 2024 15:50 MYT
Januari 18, 2024 15:50 MYT
SUNGAI PETANI: Cubaan tiga lelaki melarikan peti sejuk dari sebuah dewan makan dengan menaiki dua motosikal gagal setelah seorang daripada mereka ditahan orang awam dan polis dalam kejadian di Kampung Telok, Sungai Jagung di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian disedari pekerja dewan terbuka dan berpagar itu pada jam 11.50 pagi.
Beliau berkata, seorang kenalan pemilik dewan makan itu yang menyedari perbuatan suspek menghubunginya bertanya sama ada dia menyuruh sesiapa mengeluarkan barang dari premis berkenaan yang sering disewa untuk majlis perkahwinan.
"Mangsa bagaimanapun menafikan perkara tersebut dan dalam masa sebelum dimaklumkan terdapat tiga lelaki bermotosikal telah mengeluarkan peti sejuk dari dewan itu dengan menaiki motosikal.
"Mangsa bergegas ke lokasi namun semasa dalam perjalanan, telah terserempak dengan suspek. Mereka dilihat membawa perti sejuk itu, namun dua daripada suspek sempat melarikan diri," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Menurut Zaidy, susulan itu seorang lelaki berusia 43 tahun telah ditahan dan peti sejuk itu berjaya dirampas.
“Semakan mendapati, suspek yang juga penganggur mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah termasuk dadah,” katanya.
Menurut Zaidy, polis sedang mengesan dua lagi suspek yang melarikan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.