"Curi hasil negara? Bilik saya di Sungai Buloh masih kosong" - PM Anwar
Umavathi Ramayah
Ogos 10, 2023 10:00 MYT
Ogos 10, 2023 10:00 MYT
KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan beliau sanggup memaafkan individu yang mengaibkan beliau, namun, tidak akan sesekali memaafkan mereka yang mencuri hasil negara.
Menurut Perdana Menteri, beliau akan memastikan mereka yang terlibat dalam penyelewengan wang rakyat itu disiasat dan dikenakan tindakan sewajarnya.
"Yang lain semua saya maafkan... tetapi apa yang saya tak maafkan ialah curi tanah kerajaan, tanah rakyat, curi balak, projek dana wibawa rakyat, kamu curi dan sakau projek saya tak maafkan.
"Saya dapat tahu, siasat.. aku akan cari kamu, siasat dan Peguam Negara dakwa kamu, hakim hukum kamu, aku hantar kamu ke bilik (Penjara) Sungai Buloh, yang aku duduk masih kosong lagi," katanya pada ceramah Jelajah Perpaduan Madani di di Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, di sini, pada Rabu.
Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang juga Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Perdana Menteri turut menegaskan beliau tidak pernah campur tangan dalam sebarang siasatan melibatkan mana-mana pihak.
"Ketua Pesuruhjaya (Tan Sri Azam Baki) siapa lantik? (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin), Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) siapa lantik? Muhyiddin.
"Jadi dia (Muhyiddin) ingat bila dia lantik dia boleh lepas? Dulu cakap bersih dan orang percaya," ujarnya.