Curi elektrik terbesar: SEB bongkar 1,200 pelayan lombong mata wang kripto bernilai RM1.74 juta

Fadilah Sulaiman
Oktober 14, 2021 17:29 MYT
Pemeriksaan di lokasi oleh pasukan teknikal Sarawak Energy juga menemukan kabel paip yang disambungkan langsung secara haram ke sistem pengedaran elektrik yang dipasang oleh operator.
KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Kementerian Utiliti Sarawak menumpaskan aktiviti curi bekalan elektrik yang terbesar melibatkan kegiatan mata wang kripto di sebuah kilang yang tidak berpenghuni di Demak Laut, Kuching baru-baru ini.
Operasi berdasarkan maklumat orang awam itu membawa kepada penemuan lebih daripada 1,200 pelayan lombong mata wang kripto bernilai sekitar RM1.74 juta, aksesori komputer dan modem internet di kilang tersebut.
Pemeriksaan di lokasi oleh pasukan teknikal Sarawak Energy juga menemukan kabel paip yang disambungkan langsung secara haram ke sistem pengedaran elektrik yang dipasang oleh operator.
“Ini adalah kes kecurian elektrik terbesar yang melibatkan perlombongan mata wang kripto di Sarawak sehingga kini. Ia juga didapati bahawa operator mencuri elektrik dengan menghubungkan dari pencawang voltan tinggi yang berdekatan yang mana tenaga elektrik yang digunakan tidak didaftarkan oleh meter elektrik.
“Sarawak Energy dianggarkan mengalami kerugian lebih dari RM300,000 sebulan dalam penggunaan elektrik yang tidak berdaftar sepanjang operasi mata wang kripto.
“Semua pelayan dan aksesori perlombongan cryptocurrency dirampas, dan kabel penoreh langsung haram dibongkar sebagai bukti kecurian elektrik. Laporan polis telah dibuat untuk siasatan lanjut,” kata kenyataan SEB pada Rabu.
Kegiatan pencurian elektrik ini adalah jenayah berbahaya di mana selain daripada sambungan pendawaian yang tidak selamat, sistem pengedaran elektrik yang dipasang secara haram oleh operator juga tidak memenuhi standard keselamatan industri elektrik dan SESCO sehingga boleh menimbulkan risiko kebakaran dan letupan elektrik.
Justeru itu Sarawak Energy dengan Kementerian Utiliti Sarawak dan pihak polis akan terus memburu pengusaha perlombongan mata wang kripto yang mencuri elektrik untuk memaksimumkan keuntungan mereka dengan menggugat keselamatan awam.
“Pelanggan dinasihatkan untuk tidak mempercayai penyedia perkhidmatan yang mendakwa dapat mengurangkan bil elektrik atau membenarkan pemilik premis menikmati elektrik tanpa had melalui gangguan meter,” tambahnya.
Orang ramai juga digalakkan untuk melaporkan sebarang aktiviti perlombongan mata wang kripto yang disyaki di kawasan kejiranan atau bangunan terbengkalai ke pusat perkhidmatan pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111 atau e-mel di customercare@sarawakenergy.com. Semua maklumat yang diterima akan dirahsiakan.
#mata wang kripto #Demak Laut #Sarawak Energy #Kementerian Utiliti Sarawak
;