Curi data e-penyata gaji: NACSA akan buat kenyataan - Annuar

Bernama
September 18, 2022 20:02 MYT
Beberapa media melaporkan sekumpulan penggodam menggelarkan diri 'gray hat' mendakwa telah menceroboh ePenyata Gaji penjawat awam. - Gambar hiasan/ Reuters
KOTA BHARU: Kerajaan telah mendapat petunjuk tertentu berhubung dakwaan kecurian data penyata gaji (ePenyata Gaji) kakitangan awam, dan kenyataan lanjut mengenainya akan dibuat oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata kerajaan memandang serius berhubung isu ketirisan serta kecurian data, dan telah mengadakan beberapa mesyuarat serta perbincangan mengenainya.
"Dalam kes dakwaan kecurian data yang melibatkan ePenyata Gaji kakitangan dan sebagainya, kita telah bersetuju supaya tidak ramai mengeluarkan kenyataan, selain tidak mahu mengganggu penyiasatan yang sedang rancak dijalankan.
"Kita setuju sebarang kemas kini perlulah dikeluarkan oleh NACSA dan Jabatan Perdana Menteri (JPM), cuma apa yang boleh saya maklumkan kita telah mendapat petunjuk yang tertentu dan tindakan-tindakan sedang menyusul," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengagihan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Kolej Matrikulasi Kok Lanas di sini hari ini.
Beberapa media sebelum ini melaporkan isu kecurian data apabila sekumpulan penggodam yang menggelarkan diri mereka dari organisasi keselamatan siber 'gray hat' mendakwa telah menceroboh ePenyata Gaji penjawat awam, bagi menunjukkan kelemahan sistem itu.
Annuar berkata isu kecurian data menjadi satu fenomena, sebab itulah pada masa ini pihaknya telah membentuk satu kerangka kerja untuk membaiki atau melindungi masalah berkenaan kerana apa yang berlaku bukan di Malaysia sahaja, sebaliknya di semua negara.
"Saya mahu jelaskan kerana ramai yang salah faham, kalau berlaku kecurian data membabitkan data peribadi di bawah kelolaan syarikat dan swasta, ia termasuk di bawah Akta Perlindungan Peribadi dikelolakan Jabatan Perlindungan Data iaitu Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
"Jika data dari institusi, Jabatan Kementerian, ia tidak termasuk di bawah Jabatan Perlindungan Data, sebaliknga di bawah NACSA dan JPM.
"Berhubung dakwaan pencerobohan sistem penyata gaji, ia di bawah NACSA, namun CyberSecurity Malaysia (CSM) di bawah kementerian akan memberikan bantuan dari segi siasatan forensik," katanya.
-- BERNAMA
#NACSA #kecurian data #penyata gaji #penggodam
;