Curi barang RM50, tetapi terpaksa bayar ikat jamin RM15,000
Raffi Bachik
Mac 5, 2018 12:54 MYT
Mac 5, 2018 12:54 MYT
Dengan hanya mencuri coklat dan air minuman bernilai RM50 di sebuah kedai serbaneka, seorang pengawal keselamatan berdepan hukuman penjara 20 tahun.
Bukan sahaja itu, suspek yang melakukan rompakan menggunakan sebilah pisau lipat juga terpaksa membayar wang ikat jamin sebanyak RM15,000.
Tertuduh Mohd Hafiz Abd Rahim, 34 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompak dengan menggunakan sebilah pisau lipat dan mengambil coklat serta air minuman yang mendatangkan kerugian kira-kira RM50.
Kesalahan itu dilakukan di premis 7-eleven di Jalan Plaza Pandam Malim 4, Plaza Pandam Malim, Melaka sekitar 6.20 petang, pada 21 Januari lalu.
Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Terdahulu prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban mencadangkan jaminan RM20,000 serta beberapa syarat tambahan.
Bagaimanapun Mohd hafiz yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan mengambil kira dia hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan menanggung seorang ibu yang sakit tua.
Meor Sulaiman pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.
#coklat
#curi
#Hukuman
#ikat jamin
#kerugian
#Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi
#minuman
#Mohd Hafiz Abd Rahim
#penjara
#pisau lipat