'Cungkil bakat baharu dari peringkat awal, contohi The Blues dan Vietnam' - PM

Fareez Azman
Januari 17, 2022 11:11 MYT
Ismail Sabri percaya pelan hala tuju F:30 yang dilancarkan FAM pada 2018 adalah simbol kesungguhan persatuan itu dalam meningkatkan mutu bola sepak negara. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pembangunan bola sepak negara perlu mengambil kira pembangunan perisian dalam kalangan pemain dan tidak hanya menitikberatkan soal fasiliti serta infrastruktur semata-mata.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jika program pembangunan seperti akademi bola sepak di peringkat daerah dan negeri dapat diperhebatkan di negara ini, lebih banyak pemain berbakat besar dapat dicungkil, sekali gus membawa pasukan negara ke peringkat lebih tinggi.
"Majlis pecah tanah hari ini merupakan simbolik permulaan kepada pembangunan infrastruktur atau perkakasan kepada FAM kerana ia bakal menyediakan pelbagai fasiliti.
"Namun begitu, seperti juga mana-mana organisasi kerajaan mahupun bukan kerajaan, pembangunan perisian atau ‘software’ dalam kecemerlangan modal insan wajar diutamakan melalui perancangan strategik jangka masa sederhana dan panjang untuk kemajuan industri bola sepak negara," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat FAM di Presint 5, Putrajaya pada Isnin.
Turut hadir dalam majlis itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Tambah Ismail Sabri, beliau percaya pelan hala tuju F:30 yang dilancarkan FAM pada 2018 adalah simbol kesungguhan persatuan itu dalam meningkatkan mutu bola sepak negara.
Ujarnya, sasaran itu mampu dicapai dengan syarat pucuk pimpinan FAM sentiasa menambah baik hala tuju bola sepak negara dalam tempoh 12 tahun.
"Kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik untuk membantu perkembangan mutu bola sepak negara.
"Peta Hala Tuju atau F:30 yang dilancarkan pada 2018 pula adalah simbol kesungguhan FAM dalam melaksanakan pelan menyeluruh ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bola sepak yang disegani.
"Sasaran utama F:30 ini adalah menjadikan pasukan negara sebagai salah satu daripada lima pasukan terbaik di Asia menjelang 2030.
"Sasaran ini mampu dicapai dengan syarat pucuk pimpinan FAM sentiasa menambah baik hala tuju dalam tempoh 12 tahun ini dari semasa ke semasa dan tidak lari daripada objektif asal mereka," kata Ismail lagi.
Mengulas lanjut, jelas Perdana Menteri, seorang pemain bola sepak berbakat perlu dibimbing jurulatih yang terbaik dari usia muda.
Justeru, program merakyatkan bola sepak dalam mencungkil bakat baharu di usia muda terutama di peringkat kampung, daerah dan negeri amat penting untuk masa depan sukan nombor satu rakyat Malaysia itu.
"Contohnya pasukan Chelsea atau The Blues yang berpangkalan di Stamford Bridge, England, ekosistem pasukan Liga Perdana Inggeris ini cukup lengkap.
"Akademi mereka mengendalikan pasukan yang dianggotai pemain semuda 9 hingga 23 tahun, satu ekosistem yang menuntut pembabitan jurulatih, pengurusan kelab dan sokongan ibu bapa.
"Selain meningkatkan kemampuan teknikal, kelab itu juga membangunkan daya kebolehpasaran serta kualiti pemain yang menyarung jersi biru itu.
"Ini yang patut dicontohi oleh kelab-kelab bola sepak di negara ini," jelasnya lagi.
Malah strategi yang diguna pakai pasukan Vietnam juga, tambah Ismail Sabri, memperlihatkan kejayaan pasukan itu menjadi satu-satunya pasukan Asia Tenggara yang berjaya layak ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022.
"Begitu juga dengan pasukan Vietnam. Pada tahun 2006, pasukan itu menduduki ranking 172 dan kini mereka menjadi satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang berjaya mara ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022.
"Apa yang membezakan Malaysia dan Vietnam? Jawapannya adalah pembangunan bola sepak di peringkat awal.
"Kunci kepada peningkatan prestasi pasukan Vietnam ialah Akademi Hoang Anh Gia Lai yang menjalinkan kerjasama dengan pasukan Arsenal, sekolah bola sepak Perancis JMG Academy dan sokongan konglomerat Vietnam," katanya lagi.
#ismail sabri yaakob #FAM #Chelsea #Vietnam #bola sepak
;