Cuma salah faham kecil, Faiz terharu Sonny B Williams mohon maaf
Sahlizah Mohamed
September 26, 2019 21:07 MYT
September 26, 2019 21:07 MYT
Permohonan maaf secara terbuka yang dibuat oleh bintang ragbi bertaraf dunia, Sonny B Williams kepada seorang jurugambar Malaysia, Muhamad Faiz Azizan atas satu kesilapan kecil, tanpa disangka menjadi bualan dalam kalangan peminat bintang All Blacks itu.
Semuanya bermula daripada salah faham kecil apabila bintang All Blacks itu memuat naik gambar dirinya yang sedang membaca doa bersama rakan sepasukan, Ofa Tuungafasi, sebelum bermula perlawanan menentang Afrika Selatan.
Sonny memuat naik gambar itu tanpa mengetahui itu adalah gambar yang dirakam oleh Faiz.
Sewaktu ditugaskan ke Jepun pada 19 sehingga 23 September lepas bagi membuat liputan sempena Piala Dunia Ragbi 2019 (RWC2019), Faiz sama sekali tidak menyangka itu menjadi suatu insiden yang amat bermakna.
"Rasanya macam tak percayalah (menerima permohonan maaf dari Sonny). Benda ini memang tak dijangkakan seumur hidup. Saya sendiri peminat beliau, terus terang saya peminat beliau.
"Beliau memang seorang yang sangat humble dan apabila beliau memohon maaf pada saya atas kesilapan kecil yang beliau lakukan, itu memang saya rasa terujalah.
"Macam.... Allahuakhbar, pemain dengan nama besar boleh minta maaf. Saya nampak beliau memang seorang yang humble," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Menurut cerita Faiz, dia amat bernasib baik apabila berpeluang merakam momen itu sedangkan semua jurugambar sedang menunggu aksi persembahan Haka.
“Saya dapat lebih kurang lima hingga enam keping gambar, cuma gambar yang saya muat naik di Instagram menunjukkan bendera New Zealand sedang berkibar.
"Pada awalnya saya hanya menumpukan pada Ofa, namun secara tiba-tiba kelibat Sonny muncul di atas padang dan saya melangkah beberapa tapak ke hadapan sebelum berjaya merakam momen mereka berdua sedang berdoa," jelasnya.
Gambar berkenaan mulai tular di media sosial sebelum Faiz dimaklumkan oleh sahabatnya bahawa imej yang sama dimuat naik ke laman Twitter milik Sonny tanpa sebarang kredit.
Hal itu menyebabkan Faiz bertindak menghantar pesanan peribadi kepada atlet berusia 34 tahun itu, namun tidak berbalas.
“Saya akhirnya membuat laporan kepada Instagram sebelum platform media sosial itu sendiri menurunkan gambar berkenaan daripada akaun Sonny.
“Tindakan itu menyebabkan Sonny berang dan mendakwa ia adalah disebabkan isu Islamophobia, namun sebenarnya ia adalah tentang kesilapan pelanggaran hak cipta,” katanya.
Susulan daripada itu, perkara yang sebenar terbongkar sebelum Faiz menerima notifikasi permohonan maaf daripada atlet kelahiran Auckland, New Zealand.
Terdahulu, Sonny menerusi laman Twitter miliknya memohon maaf selepas dimaklumkan gambar berkenaan dimiliki oleh jurugambar berusia 37 tahun itu.