Wang berjumlah RM12 juta yang dibayar bagi pembebasan empat rakyat Malaysia dari Sarawak yang diculik kumpulan militan Abu Sayyaf April lalu bukanlah berupa wang tebusan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika memperjelaskan perkara itu berkata, wang itu dibayar kepada badan tertentu di Filipina yang melakukan aktiviti sah di negara itu.

Kerajaan juga katanya telah memutuskan tiada wang tebusan dibayar dan pihak polis mematuhi arahan kerajaan itu.

Katanya lagi, wang itu adalah hasil sumbangan orang ramai dan hasil jualan aset keluarga mangsa.

BACA: 4 mangsa culik Sabah pulang ke rumah

BACA: 4 mangsa culik di selatan Filipina selamat - KPN


“Saya keluarkan kenyataan semalam, memang kita tidak membayar sebarang wang tebusan dan jika derma diperolehi sebanyak RM11 juta, RM1 juta lagi adalah hasil jualan hartanah mereka atau aset mereka. Harganya 12 juta.

“Itu (wang) diberikan kepada pihak polis bukan sebagai wang tebusan sebab kerajaan memutuskan tidak ada sebarang wang tebusan di bayar dan pihak polis mematuhi arahan kerajaan,” kata Ahmad Zahid selepas melancarkan Program Wakaf Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2016 di Putrajaya, siang tadi.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata beliau tidak boleh memberi maklumat mahupun mengesahkan agensi yang menerima wang itu kerana ia adalah urusan pihak polis.

"Apa yang boleh dikatakan ialah wang itu telah dihantar ke Filipina dan pihak yang menerimanya tiada kaitan dengan kumpulan penjenayah atau pengganas," katanya.

Selain itu, pihak polis juga difahamkan akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut.

Harian Metro semalam melaporkan, wang tebusan RM12 juta itu membabitkan sumbangan individu dan orang ramai sebanyak RM9 juta, manakala syarikat perkapalan tempat mangsa bekerja menyumbang sebanyak RM2 juta dan RM1 juta lagi hasil pajak gadai dua rumah keluarga mangsa di Sibu.

Semalam, Ahmad Zahid menafikan dakwaan pihak berkuasa Malaysia membayar wang tebusan bagi pembebasan empat rakyat Malaysia berkenaan.

Adik-beradik Wong Teck Kang, 31, Wong Teck Chii, 29, sepupu mereka Johnny Lau Jung Hien, 21, dan seorang lagi anak kapal bot tunda, Wong Hung Sing, 34 dibebaskan Rabu lalu selepas diculik di perairan Pulau Ligitan, berhampiran Semporna pada 1 April lalu.