Culik Pulau Ligitan: PDRM tidak terlibat dalam rundingan tebusan RM12 juta - KPN

Hilal Azmi
Jun 17, 2016 09:51 MYT
KHALID: Pihak polis hanya mengiringi untuk memastikan keselamatan ahli keluarga mangsa tanpa terlibat dengan rundingan yang dibuat ahli keluarga terbabit. -Gambar fail
Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan pihaknya terbabit dalam pembayaran wang tebusan bernilai RM12 juta kepada kumpulan militan Abu Sayyaf bagi membebaskan empat rakyat Malaysia yang diculik di Pulau Ligitan, Sabah pada April lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata wang tersebut dipercayai diserahkan kepada pihak ketiga yang menghubungi sendiri keluarga mangsa dengan menawarkan pembebasan keempat-empat mangsa.
"Kita tegaskan, kita tak bayar apa-apa wang tebusan tetapi keluarga mangsa dihubungi penculik, pihak ketiga dan agen-agen untuk membebaskan mereka.
"Malah mereka (ahli keluarga mangsa) diiringi pegawai PDRM ke Zamboanga City, Filipina apabila mereka diminta bertemu pihak ketiga atau agen yang ingin membantu membebaskan mangsa.
"Pihak polis hanya mengiringi untuk memastikan keselamatan ahli keluarga mangsa tanpa terlibat dengan rundingan yang dibuat ahli keluarga terbabit," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Adik-beradik Wong Teck Kang, 31, dan Wong Teck Chii, 29; sepupu mereka Johnny Lau Jung Hien, 21; dan seorang lagi anak kapal bot tunda Wong Hung Sing, 34, dibebaskan Rabu lalu selepas diculik di perairan Pulau Ligitan, berhampiran Semporna pada 1 April lalu.
Dalam sidang media sama, Khalid turut memberi amaran kepada parti politik yang mengambil kesempatan dengan menjadikan kes penculikan itu sebagai modal kempen dalam pilihan raya negeri Sarawak yang lalu.
"Saya kata, jangan susahkan pihak kita.
"Ya, saya merujuk kepada parti politik yang terbabit kononnya nak dapatkan populariti semasa pilihan raya lalu," tegasnya.
#Abu Sayyaf #Khalid Abu Bakar #kumpulan militan #PDRM #wang tebusan RM12 juta