Culik Lahad Datu: Siasatan lanjut dijalankan ke atas 11 anak kapal yang selamat

Bernama
November 20, 2016 20:31 MYT
Dalam kejadian itu, kumpulan penjenayah yang menaiki bot mangsa, turut menyamun lima telefon bimbit dan sejumlah wang milik 11 anak kapal yang turut berada di atas bot nelayan tersebut. - Gambar hiasan
Siasatan lanjut masih dijalankan ke atas saksi kejadian iaitu sebelas anak kapal bot nelayan yang selamat selepas dua rakan mereka diculik di perairan Merabung, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Hamzah Ahmad berkata pihaknya kini berusaha melengkapkan siasatan berkenaan.
"Kesebelas mereka yang selamat dan tidak mengalami kecederaan ini, sedang disoal siasat," katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Awang Sahari EM Nadzeer ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu di sini, hari ini.
Ditanya sama ada penculikan itu didalangi oleh saki baki Abu Sayyaf, Hamzah berkata perkara itu turut masih disiasat.
Katanya dalam kejadian kira-kira 7.30 malam semalam, sekumpulan lima lelaki bersenjata menculik dua nelayan warga Indonesia iaitu Saparuddin Koni, 43, (juragan) dan Sawal Maryam, 36, (pembantu juragan) ketika menangkap ikan di perairan Merabung.
Dalam kejadian itu, kumpulan penjenayah yang menaiki bot mangsa, turut menyamun lima telefon bimbit dan sejumlah wang milik 11 anak kapal yang turut berada di atas bot nelayan tersebut.
Hamzah berkata setakat ini penculik masih belum menghubungi mana-mana keluarga mangsa.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan para nelayan terus berhati-hati dengan jenayah rentas sempadan iaitu penculikan untuk wang tebusan yang berlaku di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (Esszone).
"Selain memohon permit perintah berkurung, para nelayan ini diharap dapat melengkapkan bot dengan peralatan komunikasi yang berfungsi, dan sebaiknya mereka berada di kawasan yang mudah dihubungi agar sekiranya berlaku kecemasan pihak keselamatan dapat bertindak segera," katanya.
Sementara itu, wartawan Bernama yang berada di IPD Lahad Datu sempat terserempak dengan sebelas saksi kejadian culik di perairan Merabung.
Ketika dihampiri dan ditanya, seorang daripada 11 saksi itu berkata mereka masih takut dan trauma selepas insiden semalam. -- Bernama
#ACP Hamzah Ahmad #ESSCom #Merabung #nelayan diculik #wan abdul bari
;