Culik ejen kosmetik: Gambar suspek sudah diedar - Polis Kelantan

Vivi Sumanti
Oktober 10, 2022 18:42 MYT
Muhammad Zaki ditemui pada majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Kelantan di Ibupejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini. - Foto Astro AWANI
KOTA BHARU: Gambar individu yang dikehendaki oleh PDRM bagi membantu siasatan kes culik membabitkan ejen kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, 36 tahun atau Azie telah diedarkan termasuk dihantar kepada pihak polis Thailand.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata siasatan kes berkenaan bukan sahaja melibatkan kontinjen Kelantan sebaliknya Bukit Aman dan juga polis Thailand.
"Biarlah polis buat tugasan, bukan polis tak ingin berkongsi dengan media tetapi ada perkara terpaksa kita rahsiakan ibarat menarik rambut dalam tepung," katanya.
"Kalau kes melibatkan Azie, dia melibatkan negara lain (Thailand) kita kena berhati hati, semalam keluar satu berita di Bangkok, dimana CNN mencabuli kawasan kejadian.
"Inilah benda-benda yang polis dan media perlu faham," katanya selepas majlis terima serah tugas Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob yang disaksikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Datuk Kamaruddin Md Din di Ibupejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.
Penculikan Azi | Polis kenal pasti suspek warga tempatan
"Kita ada buat (edar gambar suspek) cuma kita tengok macam mana, semua pegawai dan risikan sudah mengetahui (suspek) cuma kita lihat strategi bagaimana," katanya.
Jelas Muhamad Zaki lagi, strategi adalah perkara penting dalam usaha mengesan penjenayah kerana tanpa strategi, ia akan berakhir dengan kegagalan.
Sebelum ini beliau memaklumkan pihaknya mengesan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan kes ejen kosmetik tersebut.
Azie berjaya diselamatkan hasil usaha PDRM Bukit Aman, Kontinjen Kelantan dan polis Thailand akhir bulan lepas selepas dilarikan empat individu pada 13 September lepas dari rumahnya di kampung Semat Jal, Tumpat.
Azie telah pun pulang ke pangkuan keluarga pada 3 Oktober lepas dalam keadaan sihat.
Sementara itu, selepas memangku tugas Ketua Polis Negeri, Muhamad Zaki turut memaklumkan antara fokus utama beliau di Kelantan adalah membanteras pengedaran dadah, salah laku seks membabitkan remaja dan penyeludupan di sempadan.
"Isu gejala sosial di Kelantan agak ketara penglibatan remaja dalam seksual agak ketara, selain kes-kes dadah, samseng jalanan dan sebagainya merupakan fokus saya," katanya lagi.
#culik #ejen kosmetik #Polis Kelantan #Muhamad Zaki Harun
;