Cukuplah mercu tanda sedia ada, saya tak berhajat buat satu lagi - Anwar

Rahimah Abdullah
Januari 17, 2023 11:20 MYT
Anwar menegaskan, beliau tidak berhasrat membina sebuah lagi bangunan mercu tanda khusus ketika zaman pentadbirannya. -Foto Sinar Harian
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak berhasrat untuk membina sebuah lagi bangunan mercu tanda khusus ketika zaman pentadbirannya.
Perdana Menteri menjelaskan, tumpuan sebaliknya diberikan kepada aspek kemampanan pembangunan sesebuah bandar terutama di ibu kota Kuala Lumpur, dan dalam masa sama membantu golongan peniaga kecil-kecilan serta industri kecil dan sederhana (IKS).
"Saya tekankan inilah dan diharap nanti akan dapat pandangan rakan-rakan bagaimana pertamanya usaha kepada kemampanan bandar umpamanya di Kuala Lumpur.
"Saya kata cukuplah mercu tanda seperti menara berkembar, TRX, saya kata okey.
"Bawah pentadbiran Anwar, saya tidak berhajat untuk buat satu lagi (mercu tanda), zaman Anwar ini tidak.
"Saya fikir ialah untuk menjana keupayaan kota contoh dari segi kebersihan dan peluang kepada golongan menengah, SME dan tumpu kepada golongan penjaja dan ratusan pekerja yang tak diberi tumpuan sebab ada gerai dan warung jelik.
"Sebab itu saya suruh jemaah menteri turun makan di warung, contoh di Tanglin tak diberi perhatian," katanya semasa berucap pada Majlis Dialog Belanjawan 2023 'Membangun Malaysia Madani' di Kementerian Kewangan, di sini, pada Selasa.
Justeru, beliau berharap syarikat besar dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengambil peranan terhadap pembangunan bandar yang mampan termasuk isu kebersihan gerai dan warung yang diusahakan peniaga atau penjaja.
"Syarikat besar dan GLC perlu faham orientasi ini melalui CSR dan lain-lain bagi membantu isu ini. Namun, ada kelemahannya, gerai pasar Ramadan, ada ejen yang mengutip bayaran tidak munasabah.
"Sebab itu saya katakan rasuah itu melibatkan atasan ratus juta, yang bawah puluh ribu. Jadi bagaimana nak tanganinya ia satu cabaran besar," ujar beliau.
#Anwar Ibrahim #MOF #SME #Mercu tanda
;