Cukuplah, hentikan main isu kaum dan agama - Dr Mahathir

Hasimi Muhamad
Mei 9, 2019 19:36 MYT
Dr Mahathir menyampaikan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di PICC hari ini. Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Perdana Menteri mahu semua pihak terutama parti pembangkang berhenti menggunakan isu agama dan perkauman untuk kepentingan politik.
Kata Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan diperlihatkan sebagai tidak peduli mengenai Islam dan Melayu, sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Malah, kerajaan turut dituduh akur kepada kehendak golongan bukan Islam dan bukan Melayu sehingga menggadai kepentingan bangsa Melayu dan orang Islam.
Katanya, ini dilakukan oleh satu gerakan yang pastinya didalangi mereka yang tewas dalam pilihan raya.
“Tidak cukup dengan itu, kita juga dituduh mahu melupuskan sistem beraja.
“Atas sebab ini, mereka bergabung dan dasar yang mereka pegang untuk kononnya mempertahankan Raja-Raja Melayu, kedudukan orang Melayu dan kedaulatan Islam.
“Pesanan saya, cukup-cukuplah menggunakan isu perkauman dan agama untuk kepentingan politik,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di sini, hari ini.
BACA: Dari mana datangnya begitu banyak wang yang dipulangkan? - Dr Mahathir
Dr Mahathir juga melahirkan rasa hairan bagaimana Pas dan UMNO boleh bergabung dan bekerjasama, sedangkan semua tahu UMNO selama ini dikafirkan oleh Pas dan pemimpin Pas terutama Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah menarik balik amanatnya.
“Kerana itu bertahun-tahun lamanya sehinggalah ke Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), orang Melayu yang percaya kepada Pas tidak akan mengundi UMNO, walaupun di kerusi yang Pas tidak bertanding.
“Mereka lebih rela mengundi DAP, PKR, PBS (Parti Bersatu Sabah) dan mana-mana parti pimpinan orang Islam atau pun tidak, asalkan bukan UMNO.
“UMNO pula ditolak rakyat pada PRU14 kerana mereka dipimpin oleh seorang kleptokrat dan bertanggungjawab membenar penjarahan secara besar-besaran dilakukan terhadap institusi Melayu dan Islam seperti Tabung Haji, Felda, MARA (Majlis Amanah Rakyat) dan sebagainya,” katanya.
BACA: Setahun Malaysia Baharu: 39.01 peratus Janji PH dicapai - Dr Mahathir
Jelas Dr Mahathir, hari ini Pas menyeru penyokongnya untuk bersama-sama dengan UMNO bagi mempertahankan Melayu dan Islam.
“Di manakah mereka ketika pemimpin UMNO mencuri dan menjarah harta negara menerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji dan Felda serta lain-lain institusi kerajaan seperti KWAP (Kumpulan Wang Persaraan) dan EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja)?
“Kerana itu, perjuangan yang kononnya untuk mempertahankan Melayu dan Islam tidak lain daripada mempertahankan perompak negara yang berharap jika kerajaan ini jatuh, maka kes yang mereka hadapi akan gugur dan tidak perlu bertanggungjawab dengan dosa dan kerosakan yang mereka lakukan,” katanya.
BACA: Kerajaan perkenal hala tuju baharu ekonomi negara - Dr Mahathir
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Abdul Hadi Awang #Felda #Islam #isu agama #kepentingan politik #Mahathir Mohamad #Melayu #PAS #pembangkang #perkauman #pilihan raya umum #PRU14 #sistem beraja #UMNO
;