Cukuplah buat bising tentang 1MDB - Dr Najmil

UMNO Online
Mac 10, 2015 00:40 MYT
DR NAJMIL: Cukuplah buat bising tentang 1MDB - Gambar fail
Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Datuk Dr. Najmil Mohamed Aris berkata, pembangkang tidak perlu lagi membuat bising berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun memberikan lampu hijau kepada Jabatan Audit Negara untuk memeriksa akaun syarikat tersebut bagi memastikan apakah benar wujud penyelewengan seperti yang didakwa oleh pembangkang.
Kata Najmil, bukan sekadar Jabatan Audit Negara sahaja, malah Jawatakuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang turut dianggotai oleh wakil pembangkang juga akan turut diberi ruang untuk memeriksa akaun kewangan syarikat tersebut.
"Perdana Menteri telah memperlihatkan keterbukaannya di mana tiada apa yang mahu disorokkan dalam isu 1MDB ini. 1MDB telah pun diaudit oleh sebuah syarikat swasta sebelum ini dan kini jabatan audit negara dan laporan audit itu akan diserahkan kepada PAC untuk penelitian lanjut.
"Tindakan PM ini jelas membuktikan bahawa kerajaan benar-benar telus dalam hal ini dan tiada apa yang mahu disorokkan.
"Bahkan, sekiranya berlakunya penyelewengan maka PM telah memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil kepada mereka yang terlibat," jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Justeru itu, beliau menyarankan kepada pihak pembangkang agar berhenti menyebarkan fakta-fakta yang belum dipastikan sahih dan benar kerana ianya boleh menggangu segala pemeriksaan dan siasatan yang dilakukan oleh Jabatan Audit Negara dan juga PAC.
"Cukup-cukuplah pihak pembangkang buat bising dan menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya dalam isu ini. Tindakan pembangkang itu bukan sahaja tidak membantu, bahkan akan membuatkan tugas memeriksa akaun syarikat ini terganggu.
"Jadi adalah lebih baik pembangkang tunggu dan lihat apa keputusan jabatan audit negara dan juga PAC yang turut akan melakukan audit terhadap syarikat tersebut. Biarpun pihak yang diberikan tanggungjawab melakukan kerja mereka dan kita lihat apa hasilnya nanti,” ujarnya.
Najib baru-baru ini telah mengarahkan ketua jabatan audit negara untuk menjalankan pemeriksaan terhadap akaun syarikat tersebut apabila syarikat tersebut menjadi sasaran serangan pihak pembangkang yang mendakwa berlaku ketirisan dan penyelewengan yang melibatkan berbilion ringgit di dalam syarikat tersebut.
Malah, Najib juga telah memfailkan saman di atas kapasiti peribadi terhadap seorang pemimpin pakatan pembangkang, Tony Pua dan seorang rakannya berikutan dakwaan berunsurkan fitnah yang dilemparkan oleh pemimpin pembangkang tersebut berhubung isu 1MDB.
#1MDB #najib #najmil #PAC #Tony Pua