Cukai vape beri situasi menang-menang kepada pemain industri, usaha kawal tabiat merokok
Bernama
April 5, 2023 05:00 MYT
April 5, 2023 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pendekatan sederhana yang diambil kerajaan dengan mengenakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik yang berkuat kuasa 1 April lepas, dilihat memberikan situasi 'menang-menang' kepada pemain industri dan usaha kerajaan menghentikan tabiat merokok dalam kalangan rakyat di negara ini.
Presiden Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia (MRECA), Datuk Adzwan Ab Manas, berkata pendekatan itu wajar memandangkan industri vape selama ini telah dibangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan tempatan.
"Ia telah melahirkan satu ekosistem yang menjadi sebahagian daripada ekonomi negara. Langkah drastik untuk melarang penggunaan vape sepenuhnya adalah tidak wajar dan hanya akan melenyapkan industri tempatan," katanya kepada Bernama pada Rabu.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah mengenakan cukai itu sebagai antara pendekatan sederhana untuk mengawal selia produk merokok yang mengandungi nikotin serta menghentikan tabiat merokok dalam kalangan rakyat di negara ini.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Entiti Vape Malaysia (MOVE), Samsul Kamal Ariffin, berkata pihaknya telah memperjuangkan supaya industri vape dikawal selia sejak hampir 13 tahun lalu.
"Kami faham dan menerima langkah mengenakan cukai ini kerana ini adalah sebahagian daripada kerangka kawal selia," katanya.
Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan menyediakan kerangka kawal selia yang jelas di tiga peringkat meliputi pembuatan cecair untuk rokok elektronik, penjualan dan penggunaan.
Katanya, Malaysia memerlukan kawal selia antaranya bagi menentukan lokasi atau kawasan khusus dan terkawal bagi pembuatan cecair vape, melaksanakan peraturan seperti jarak premis dengan sekolah dan had umur individu yang dibenarkan memasuki premis selain garis panduan bagi pengguna.
Sementara itu, seorang pengguna rokok elektronik. Muhammad Amirul Razali, 27, berkata pelaksanaan cukai itu mungkin dapat menghindarkan generasi baharu daripada berjinak-jinak dengan rokok elektronik.
"Pengguna vape sedia ada akan tetap membeli vape ini sebab sudah menjadi tabiat. Rokok pun cukai tinggi, tetapi orang masih sanggup beli," kata jurutera di sebuah syarikat swasta itu.
Pemilik Molek Vape Store, Hiekal Rosli, 42, berpendapat pelaksanaan cukai itu akan memberi kesan secara tidak langsung terhadap harga rokok elektronik di pasaran.
"Setakat ini daripada maklumat yang kami dapat, pengeluar yang akan dikenakan cukai, jadi bila pengeluar dikenakan cukai, harga produk dijangka akan meningkat," katanya.
Pada 1 April lepas, media melaporkan kerajaan menerusi notis warta kerajaan Persekutuan melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml).
-- BERNAMA