Cukai taksiran turun 0.25 hingga 2 peratus ikut jenis bangunan - Datuk Bandar Ipoh
Bernama
Disember 26, 2024 20:47 MYT
Disember 26, 2024 20:47 MYT
IPOH: Sebahagian besar cukai taksiran dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah diturunkan sebanyak 0.25 peratus hingga dua peratus mengikut jenis bangunan.
Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak pada 11 Disember lepas telah meluluskan Senarai Nilaian Baharu bagi semua pegangan berkadar dalam kawasan pentadbiran MBI berikutan penurunan kadar peratus cukai taksiran itu.
Beliau berkata pengesahan Senarai Nilaian Baharu itu telah disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri Perak hari ini.
"MBI telah mengadakan beberapa siri sesi libat urus bersama pemilik harta seperti sesi libat urus MBI bersama penduduk atau pemilik harta pada 12 Nov lepas dengan kehadiran kira-kira 900 orang untuk membuat semakan ke atas Senarai Nilaian Baharu.
"Selain itu, sesi bersama Ahli Dewan Undangan (ADUN) Negeri Perak dan Ahli Parlimen dalam kawasan MBI juga telah diadakan pada 26 Nov," katanya dalam kenyataan hari ini.
Rumaizi berkata MBI juga telah mengadakan sesi libat urus bersama Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Cawangan Negeri Perak, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPMM) Perak, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI), Dewan Perniagaan India Perak (PICC) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Perak pada 18 Dis lepas.
Beliau berkata menerusi sesi berkenaan, satu resolusi telah dicapai iaitu penubuhan Jawatankuasa Timbang Tara terdiri daripada panel tiga orang ahli majlis, wakil persatuan yang terlibat, Jabatan Penilaian dan Hartanah MBI serta dipengerusikan oleh ahli majlis.
"MBI telah mengadakan sesi Pendengaran Bantahan Fasa 1 pada 6 Dis 2024 yang melibatkan 80 orang pemilik harta. Sesi Pendengaran Bantahan Fasa 2 akan diteruskan mulai 7 Jan hingga pertengahan Mac 2025," katanya.
Beliau berkata dapatan daripada semua sesi libat urus dan sesi Pendengaran Bantahan berkenaan akan dijadikan asas pertimbangan dalam penentuan cukai taksiran.
Pada 15 Nov lepas, Rumaizi dalam kenyataan berkata keputusan sama ada untuk mengekalkan atau menurunkan kadar cukai baharu yang dikenakan MBI bergantung kepada bantahan yang dibuat oleh warga Ipoh.
Kira-kira dua minggu kemudian MBI bersetuju untuk mengurangkan kadar baharu cukai taksiran iaitu lebih rendah berbanding cadangan sembilan peratus sebelum ini selepas perkara berkenaan dibincangkan dalam satu mesyuarat khas.
-- BERNAMA