Cukai taksiran tidak boleh dinaikkan secara mendadak - Nga
Bernama
November 24, 2024 21:00 MYT
November 24, 2024 21:00 MYT
IPOH: Proses penilaian semula cukai taksiran mesti mementingkan kebajikan rakyat dengan kadar cukai berkenaan tidak boleh dinaikkan secara mendadak kerana langkah itu boleh membebankan rakyat.
Ringkasan AI
- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menegaskan kadar cukai taksiran mesti dinaikkan secara beransur-ansur untuk mengurangkan beban rakyat.
- Beliau mencadangkan pendekatan seperti di Pulau Pinang, di mana kenaikan kecil dan konsisten lebih diterima rakyat.
- Kerajaan akan meneliti bantahan dan maklum balas rakyat sebelum membuat keputusan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang menegaskan perkara itu berkata kerajaan mencadangkan kenaikan cukai dilakukan secara beransur-ansur dan mengambil kira kadar inflasi semasa.
Beliau berkata sebagai contoh, kadar cukai taksiran hanya boleh dinaikkan sebanyak dua hingga lima peratus sahaja setiap dua tahun.
"Pendekatan ini telah berjaya di Pulau Pinang dengan kadar kenaikan kecil tetapi konsisten telah menerima sambutan baik daripada rakyat. Saya yakin Ipoh juga boleh mengkaji dan mengambil pendekatan serupa agar rakyat tidak terbeban," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 22 Nov, media melaporkan semakin ramai warga bandar raya Ipoh yang mengemukakan bantahan terhadap kadar baharu cukai taksiran sebanyak sembilan peratus yang akan dilaksanakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Sementara itu, Nga berkata isu cukai taksiran itu telah dibangkitkan dalam Majlis Negara Kerajaan Tempatan baru-baru ini.
"Dasar kerajaan adalah jelas, ini adalah kerajaan dari rakyat, untuk rakyat. Semua bantahan dan maklum balas akan diteliti untuk memastikan keputusan yang dibuat adalah adil," katanya.
-- BERNAMA