Cukai taksiran di Putrajaya dikurangkan 5 peratus bagi strata, 20 peratus untuk teres
Bernama
Mac 9, 2023 17:54 MYT
Mac 9, 2023 17:54 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memberikan pengurangan cukai taksiran fasa 2 di Putrajaya sebanyak lima peratus kepada pemilik kediaman strata (selain rumah mampu milik) dan 20 peratus bagi pemilik kediaman teres bermula 1 Julai ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengurangan itu diberikan kepada kediaman yang siap dibina selepas 2017 dan potongan akan diberikan kepada jumlah cukai taksiran yang dikenakan.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata pemberian pengurangan cukai itu melibatkan hampir 2,700 unit kediaman strata dan teres yang siap dibina selepas 2017 dan diberikan sehingga penilaian semula oleh Perbadanan Putrajaya.
"Saya ambil peduli keluhan daripada pemilik harta selain rumah mampu milik di Putrajaya bahawa cukai taksiran yang dikenakan ke atas premis kediaman mereka agak tinggi berbanding kawasan sekitarnya," menurut beliau dalam kenyataan hari ini.
Perdana Menteri berkata pengurangan itu juga selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI melalui elemen ihsan yang seterusnya dapat dipanjangkan kepada ruang lingkup lebih luas bagi mengurangkan beban penduduk dalam mendepani kos sara hidup terutama golongan M40 yang memiliki kediaman strata dan teres di Putrajaya.
Sebelum ini, semua kediaman berharga di bawah RM300,000 di Putrajaya diberikan potongan sebanyak 30 peratus daripada jumlah cukai taksiran yang dikenakan berkuat kuasa 1 Jan lepas sehingga penilaian semula oleh Perbadanan Putrajaya.
-- BERNAMA