Cukai Pelancongan mekanisme promosi negara di mata dunia - Uzaidi
Wan Syamsul Amly
Jun 10, 2017 21:01 MYT
Jun 10, 2017 21:01 MYT
Pelaksanaan Cukai Pelancongan mulai 1 Julai ini disifatkan mekanisme semua pihak berkenaan dalam mempromosi keindahan negara di peringkat antarabangsa.
Presiden Majlis Pelancongan Malaysia Uzaidi Udanis berkata, ia harus dilihat situasi menang-menang dan memberi kelebihan serta lebih pendedahan terhadap lokasi tumpuan pelancong di negara ini.
"Kos pemasaran adalah mahal tetapi kita kena buat pemasaran. Kalau kita ada produk bagus malah paling bagus di dunia seperti Taman Negara tetapi orang tidak tahu, mereka tidak akan datang ke sini.
"Jadi kita kena ada satu dana untuk digunakan sebagai promosi agresif di peringkat antarabangsa.
"Kita lihat negara lain agresif, jadi kita akan bersaing dengan negara lain. Semua negara mahu pelancong dan kita tidak mahu ketinggalan dalam pemasaran ini," katanya semasa ditemui pada Majlis Iftar@KL 2017 di Dataran Merdeka hari ini.
Iftar@KL 2017 merupakan anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad sepanjang bulan Ramadan.
Secara keseluruhan sebanyak 16 aktiviti akan diadakan berbanding 14 aktiviti pada tahun lalu, antaranya penyediaan dan pengagihan bubur lambuk, pameran pelancongan Islam, tadarus al-Quran, tazkirah, kapsul Ramadan dan sukarelawan
Selain itu, terdapat juga program klinik tahsin al-Quran, jualan food truck, kaunter zakat, majlis berbuka puasa, solat berjemaah, bual bicara, konsert dan moreh
Sebelum ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pelaksanaan Cukai Pelancongan akan menyaksikan kadar antara RM2.50 dan RM20 untuk penginapan semalam.
Jelasnya, pelaksanaan kutipan cukai akan mula dikenakan terhadap hotel dan rumah penginapan yang berdaftar.
Pada sidang Parlimen yang lepas, Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017, yang dibentangkan Mohamed Nazri, diluluskan dengan undian majoriti.